Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSungai Petani – Lima koperasi di negeri Kedah dipilih menerima Sijil Pengiktirafan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia dan Top 350 Koperasi Tahun 2022 di Hotel Swiss Avenue Sungai Petani. Program diadakan sempena berlangsungnya Majlis Apresiasi Koperasi Negeri Kedah berlangsung selama dua hari pada 27 Februari, mulai semalam.
Program itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Kedah. Koperasi terpilih itu ialah Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Berhad, Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Daerah Kulim Berhad, Koperasi Guru-Guru Kedah Berhad, Koperasi Pasar Melayu Baling Berhad dan Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad.
Naib Pengerusi Eksekutif Dasar dan Pembangunan SKM, Amran Abdul Kadir ketika berucap di majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu berkata, konsep Malaysia Madani diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibahim perlu diberi perhatian serius oleh pemimpin koperasi. Katanya, banyak usaha baharu perlu dicipta untuk kemajuan ekonomi, termasuk koperasi menyertai sektor pertanian bagi menjamin sekuriti makanan dalam negara.”Saya amat berharap setiap pemimpin koperasi menghayati konsep Malaysia Madani dan boleh diamalkan untuk kepentingan koperasi. Dengan penghayatan dan pengamalan Malaysia Madani itu, koperasi dapat diurus dengan lebih baik demi kepentingan anggota dan masyarakat. “Saya juga berharap koperasi yang belum berada dalam kedudukan 100 koperasi terbaik, berusaha dari sekarang untuk mencapai kedudukan 100 terbaik pada masa hadapan,” katanya.
Pengarah SKM Negeri Kedah, Norzila Nayan pula berkata, ceramah berkaitan tatacara pembayaran zakat, risiko rasuah dan lain-lain perlu dijadikan garis panduan untuk mengejar kejayaan sehingga memberi kepuasan anggota serta keyakinan masyarakat. Seramai 100 peserta dari 44 buah koperasi di seluruh negeri Kedah menyertai program itu.