Oleh Abd Razak Osman
26 Februari 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Sebagai menghargai kesetiaan mereka yang menjalankan perniagaan di Pasar Tani Jalan Petri, sebanyak enam orang peniaga diraikan sempena ulang tahun ke-38 mereka berniaga di pasar tani ini. Berdasarkan sejarahnya, Pasar Tani Jalan Petri merupakan pasar tani pertama yang beroperasi di negeri Kedah, iaitu dibuka sejak 24 November 1985.

Mereka yang diraikan ialah peniaga barang runcit, Encik Ishak Endot, peniaga hasil laut, Encik Rajie Hassan dan Rodzi Mohd Amin, peniaga sayur-sayuran, Puan Rokiah Din diikuti peniaga tanaman jangka pendek, Encik Mat Nor Yahaya dan Puan Aeshah Salleh. Kesemuanya menerima plak dan sijil untuk kategori Peserta Pasar Tani Amat Setia.

Yang Dipertua MPSP, YBhg. Datuk Muhamad Arof Darus menyampaikan plak dan sijil kepada peserta untuk kategori Peserta Pasar Tani Amat Setia.

Program ini merupakan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Peserta Pasar Tani Sungai Petani. Dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), YBhg. Datuk Muhamad Arof Darus telah memotong pulut kuning dan menyampaikan plak serta sijil kepada peserta tersebut.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Muhamad Arof Darus mengingatkan kepada peniaga yang membina gerai dan kedai di beberapa lokasi di daerah Kuala Muda secara persendirian yang terletak di atas tanah milik MPSP tanpa mendapat kebenaran mengikut undang-undang bakal dikenakan tindakan.

Terdahulu, Pengarah FAMA Negeri Kedah, Tuan Isa Hamzah berkata, hasil jualan Pasar Tani di negeri Kedah mencecah RM22.4 juta pada tahun lepas. Jumlah tersebut adalah hasil jualan di 15 buah lokasi, dan melibatkan sebanyak 723 orang usahawan.

Tambahnya lagi, peserta Pasar Tani Sungai Petani mempunyai 80 orang usahawan dan berjaya menyumbang hasil jualan pada tahun lepas, iaitu sebanyak RM5.9 juta.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penaung Persatuan Kebajikan Peserta Pasar Tani Daerah Kuala Muda, YBhg. Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dan Setiausaha MPSP, Puan Noorulhuda Mohammed Ali.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.