Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan telah memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka dalam Belanjawan 2023.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding dengan RM71.6 bilion tahun lalu. Peningkatan ini adalah untuk memberikan tumpuan terhadap program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa. Pelaksanaan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan akan memastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat. Atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5% ketimbang 5.6% pada tahun 2022.
Tambah beliau, kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh. Beliau turut menambah, bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat. Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini.