Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 dan Tahun Saraan 2022 melalui e-Filing bagi pembayar cukai individu dan selain individu iaitu Borang BE, B, M, BT, MT, P, TF, TP dan E boleh dilakukan mulai 1 Mac 2023.
Pembayar cukai disarankan untuk menggunakan perkhidmatan e-Filing bagi tujuan pengemukaan BN yang boleh diakses melalui portal rasmi HASiL https://www.hasil.gov.my/ > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing atau secara terus ke MyTax; melalui portal https://mytax.hasil.gov.my/ atau aplikasi mobile manakala bagi ejen cukai pula digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan TAeF (https://taef.hasil.gov.my/). Pembayar cukai berdaftar yang log masuk kali pertama ke sistem e-Filing perlu mendapatkan no. PIN terlebih dahulu melalui MyTax > Pilih Jenis Pengenalan > No. Pengenalan > hantar dan pilih e-KYC (Mobile) atau e-CP55D (portal). Ikuti langkah yang dinyatakan dan muat naik dokumen pengenalan diri sekiranya diperlukan.
Tindakan set semula kata laluan bagi pembayar cukai yang terlupa kata laluan boleh dilakukan melalui e-mel yang berdaftar dengan HASiL. Sekiranya pembayar cukai masih menghadapi masalah berhubung kata laluan atau no. PIN, pembayar cukai boleh merujuk kepada panduan yang disediakan di MyTax, menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (Dalam Negara) / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat atau mengunjungi kaunter perkhidmatan HASiL yang berhampiran.
Maklumat lanjut berkenaan Program Memfail BN bagi tahun 2023 boleh dirujuk di portal rasmi HASiL atau klik pada pautan berikut untuk capaian pantas:
Versi Bahasa Malaysia:
https://www.hasil.gov.my/media/mpofkuqz/programmemfailbn_2023.pdf
Versi Bahasa Inggeris:
https://www.hasil.gov.my/media/esmb4pd1/rffilingprogramme_2023.pdf
Pembayar cukai turut dinasihatkan untuk mengemukakan BN dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan. Status penghantaran BN, proses bayaran balik, e-Lejar dan maklumat Potongan Cukai Bulanan (PCB) boleh disemak melalui MyTax. Dokumen pembuktian seperti penyata pendapatan, resit, invois dan lain-lain dokumen berkaitan cukai pendapatan hendaklah dikumpulkan, disusun dengan kemas dan disimpan dengan rapi sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 82 dan 82A Akta Cukai Pendapatan 1967. Tindakan itu perlu dilakukan sebagai persediaan untuk memudahkan proses pengisian e-Filing dan semakan pematuhan oleh HASiL pada masa hadapan.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public.