Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Maybank Asset Management Sdn. Bhd. melancarkan Dana Maybank Global Conservative-I pelbagai aset patuh syariah untuk menawarkan perancangan persaraan fleksibel bagi menjamin kestabilan kewangan kepada pelabur.
Dana itu merupakan sebahagian daripada Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I yang ditawarkan di bawah Maybank Flexible Retirement Solution yang telah dilancarkan pada tahun lalu. Dana itu disasarkan untuk mencapai pengagihan pendapatan sebanyak 7% setahun. Baki aset akan terus dilaburkan untuk memperoleh pulangan dan memberikan peluang kepada pelabur bagi meningkatkan tabung persaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Malaysia, Ahmad Muzni Mohamed menyatakan kebimbangan beliau terhadap perancangan persaraan di negara ini. Beliau juga melihat kepentingan untuk memupuk masyarakat bagi menambah tabung persaraan sedia ada seawalnya bagi memastikan kewangan persaraan berada dalam keadaan selamat. Tambah beliau lagi, dana itu memberikan pilihan tahap risiko yang ingin diambil oleh pelanggan sambal menikmati fleksibiliti bagi menentukan hala tuju persaraan, menepati matlamat dan keperluan hidup masing-masing.
Selain itu, dana itu juga dapat menambah pendapatan pelabur selepas bersara dengan menyediakan pembayaran pendapatan yang lebih tinggi. Situasi itu dapat membantu mereka dalam aspek kestabilan pendapatan dan perlindungan simpanan untuk jangka panjang, memberikan ketenangan untuk meneruskan kehidupan berkualiti tanpa rasa bimbang soal kewangan.