Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan majlis penutupan program seminar keusahawanan yang turut dilaksanakan secara dalam talian (webinar) kali ke-18 di bawah Program ‘Women In Search of Excellence (WiSE) bertemakan “Journey To The Top” di Dewan Bakawali Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar.
Keberangkatan baginda ke program itu sehari suntuk disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA Datuk Zulfikri Osman dan Pengarah MARA Negeri, Mohd Azam Jamaluddin. Program itu yang merupakan usaha sama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Turut diadakan ialah lawatan ke reruai pameran MARA, tayangan multimedia merangkumi aktiviti seminar dan simbolik perasmian penutupan, tayangan montaj, pengurniaan empat Sijil Usahawan MARA dan persembahan “MARA In Fashion”.
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku penasihat YTF menitahkan bahawa perkembangan teknologi digital terkini telah membawa kepada perubahan dalam model perniagaan sedia ada dan penciptaan baharu, pengenalan produk dan perkhidmatan baharu, serta peningkatan kecekapan dalam proses perniagaan yang akhirnya menjadikan perniagaan lebih berdaya saing.
Baginda turut bertitah peralihan ekonomi sedia ada kepada ekonomi digital amat penting dalam mempercepakan pertumbuhan ekonomi setempat dan nasional dengan tenaga penggerak kebanyakannya terdiri daripada usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ekonomi digital juga mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan serta pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh, termasuk kawasan luar bandar.