Oleh Abd. Razak Osman
15 Februari 2023, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Seramai 150 pelajar Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) menjadi kumpulan pertama dipilih bagi menyertai Program New Breed Marketing Enterpreneur (NBME) dengan menjalankan perniagaan secara talian menerusi platform Agrobazaar Online.

Peserta akan menjadi ejen memasar produk dikeluarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang boleh menjana pendapatan lumayan hingga mencecah lebih RM3000 sebulan melalui program itu. Itu merupakan kali pertama Fama mengadakan kerjasama dengan KKSP bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar. Para peserta perlu mengikuti kursus khas  sebelum mereka memasarkan produk tersebut.

Terdahulu, satu perjanjian memorandum persefahaman antara pihak Fama dan KKSP telah berlangsung di Dewan Banquet KKSP. Majlis penyerahan memorandum perjanjian itu dilakukan antara Timbalan Pengarah Fama Negeri Kedah, Yusri Mahat dengan Pengarah KKSP, Sobah Abdul Hamid dengan disaksikan oleh Pengarah Fama Negeri Kedah, Isa Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, Kamaludin Daud.

Sementara itu, Sobah Abdul Hamid berkata, melalui usaha kali pertama dilakukan antara KKSP dengan Fama ini, program itu boleh memberi banyak kebaikan kepada pelajar setelah dilantik menjadi Ejen Pemasar Fama. Katanya, pelajar yang dipilih perlu menggunakan masa sepenuhnya bagi menjana pendapatan lumayan. “Hanya mereka yang aktif dalam online mampu mengejar kejayaan dan yang penting menjadi Ejen Pemasar FAMA yang sentiasa bertanggungjawab. “Banyak cabaran perlu dihadapi dan semua kerja menjadi mudah, sekiranya pelajar pandai menyesuaikan diri di mana-mana sahaja semasa membuat urusan dengan orang ramai,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.