4 Februari 2023, 20:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ranau – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkasakan  Program Tanggungjawab Sosial (CSR) dengan menyantuni 39 orang anak yatim dari Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad di bawah kelolaan Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Daerah Ranau. Program ini dilaksanakan seiring dengan konsep Malaysia Madani yang menerapkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang dalam masyarakat bagi mewujudkan keamanan bersama.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh HASIL hari ini, pihak HASIL telah menyerahkan sumbangan berbentuk makanan, barangan dan wang tunai berjumlah RM6000 menerusi program ini kepada pihak yang terlibat. Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi.

YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan tunai berjumlah RM6000 kepada Pengurus Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad, Ustaz Haji Mohd Hainin Abdullah bagi menampung perbelanjaan pengurusan rumah anak yatim dan asnaf tersebut.

“HASiL amat komited dalam meneruskan usaha menyantuni rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat untuk memberikan pelbagai bantuan melalui inisiatif CSR di samping membantu meringankan beban, terutamanya golongan asnaf dan masyarakat di luar bandar yang memerlukan serta melahirkan warga kerja HASiL yang prihatin,” demikian ulasan YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi dalam kenyataan media tersebut.

YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi mengedarkan pek makanan Kentucky Fried Chicken (KFC) kepada penghuni Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad bersempena dengan Program HASiL Kasih Prihatin.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan program ini ialah satu daripada pendekatan strategik HASiL dalam mendekatkan diri kepada masyarakat sekali gus sebagai tanda sokongan HASiL kepada pembangunan modal insan, termasuklah masyarakat di luar bandar dan golongan asnaf.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut yang berkaitan dengan HASiL, boleh dimajukan kepada pihak HASiL Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara). Sebarang pertanyaan menerusi mesej boleh dikemukakan melalui ruangan HASiL Live Chat atau masyarakat boleh mengisi borang maklum balas di portal rasmi HASiL.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.