3 Februari 2023, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur –  Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa aset rizab rasmi Malaysia berjumlah USD 114.65 bilion  pada akhir Disember 2022 manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD 5.40 juta.
Bank pusat itu turut memaklumkan bahawa berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan bil antara bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah USD 16.94 bilion. Kedudukan jualan hadapan sebanyak USD 26.39 bilion pada Disember 2022 telah mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Menurut BNM, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah USD 2.25 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang. BNM turut  menjelaskan bahawa satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun yang  berjumlah USD 378.50 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.