27 Januari 2023, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur –  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa inflasi Malaysia menurun kepada 3.8% pada Disember 2022 berbanding 4.0% pada November 2022 didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol .
Walau bagaimanapun, inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 meningkat 3.3% berbanding dengan 2.5% yang dicatatkan pada tahun 2021. Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 129.2 pada Disember 2022 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8% berbanding pada bulan sebelumnya iaitu 7.3% telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara. Peningkatan itu diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9%) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7%) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding pada November 2022. 
Namun begitu, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4% berbanding November 2022 iaitu sebanyak 7.0%. Beliau menambah kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.4%), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3%) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.5%). Indeks pendidikan dan kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4% dan 1.3% manakala minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut masing-masing mencatatkan kenaikan marginal 0.7% dan 0.4%.
Beliau menyatakan bahawa peningkatan inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.8%), restoran dan hotel (5.0%) serta pengangkutan (4.7%). Konflik antara Rusia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada 2022 telah menyumbang kepada kenaikan inflasi. Inflasi bagi suku keempat 2022 meningkat sebanyak 3.9% kepada 128.9 berbanding 124.1 pada suku sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi mencatatkan peningkatan 0.6% berbanding suku ketiga 2022.
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2022 mereda kepada 0.2% berbanding 0.3% pada November 2022. Keadaan itu disumbangkan  oleh kumpulan restoran dan hotel (0.7%) serta makanan dan minuman bukan alkohol (0.5%). Beliau menambah kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022. Peningkatan kumpulan ini terutama disebabkan oleh komponen makanan di rumah yang mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan kepada 4.9% berbanding 5.8% pada November 2022, manakala makanan di luar rumah meningkat 9.6% berbanding bulan sebelumnya.
Namun begitu, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan pada perayaan krismas bermula 23 Disember hingga 27 Disember 2022 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah membantu meredakan inflasi kumpulan ini daripada terus melonjak. Dalam perkembangan sama, inflasi pengangkutan menunjukkan peningkatan lebih perlahan kepada 4.9% pada Disember 2022 berbanding tahun lepas disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 yang lebih rendah.
Oleh itu, subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian menjadi sederhana kepada 4.3% berbanding 5.1% pada November 2022. Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 meningkat sebanyak 20.0%  iaitu RM3.60 seliter) berbanding dengan RM3.00 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Kenaikan harga minyak itu terutama purata harga petrol tanpa plumbum RON97 dipengaruhi oleh harga minyak mentah Brent yang meningkat sebanyak 8.9%  pada Disember 2022.
DOSM melaporkan empat negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 3.8% iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9%), Selangor (4.5%), Sarawak (4.1%) dan Johor (3.9%). Kedah merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.2%. Sementara itu, inflasi bagi kumpulan berpendapatan di bawah RM3000 meningkat 3.6% daripada 125.3 pada Disember 2021 kepada 129.8 pada Disember 2022 disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 6.1%.
Tambahan pula, inflasi bagi kumpulan restoran dan hotel turut meningkat 7.8% diikuti hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.2%); pengangkutan (2.6%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2%) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8%).
DOSM turut melaporkan bahawa inflasi teras yang mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1% pada Disember 2022 berbanding bulan sama tahun sebelumnya. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 8.1%. Selain itu, kumpulan restoran dan hotel turut mencatatkan kenaikan 7.4%, diikuti oleh pengangkutan 7.3%; hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 3.7% dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.4%.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.