27 Januari 2023, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyatakan bahawa Malaysia mengekalkan prestasi cemerlangnya pada tahun 2022 dari segi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan dengan jumlah eksport mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tiga tahun lebih awal daripada unjuran.

Ketua Pegawai Eksekutif  Matrade,Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz menyatakan bahawa  komuniti perniagaan Malaysia kekal berdaya tahan susulan permintaan global yang kukuh dan harga komoditi yang tinggi walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi global yang mencabar. Beliau menambah bahawa  Malaysia mengeksport rangkaian produk bernilai tinggi dan berdaya saing  lebih 200 pasaran antarabangsa.

Statistik itu mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang yang dipercayai, mengakses pasaran baharu dan pasaran sedang pesat membangun melalui pelbagai perjanjian perdagangan di peringkat serantau dan dua hala.
Pada tahun 2022, 10 destinasi eksport utama Malaysia telah menyumbang 87.7% daripada jumlah eksport. Pihak Matrade akan terus menggalakkan lebih ramai usahawan Malaysia menceburi eksport. Matrade menjadi tumpuan utama dalam memudahkan pengeksport, kementerian, agensi, dewan dan persatuan Malaysia dengan menghubungkan mereka dengan pembeli asing.
Beliau menyatakan bahawa komitmen agensi untuk meningkatkan eksport negara akan diteruskan di bawah tiga agenda eksport utama, iaitu pendigitalan, kemampanan dan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional. Matrade  telah merangka beberapa program eksport bernilai tinggi pada tahun 2023 untuk menyokong komuniti pengeksport Malaysia, termasuk industri seperti elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, aeroangkasa, makanan dan minuman, perubatan dan farmaseutikal, bahan binaan, minyak dan gas, serta perkhidmatan seperti teknologi maklumat dan komunikasi dan pembinaan kapal.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.