24 Januari 2023, 20:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Pada 23 Januari 2023, lokasi penjaja makanan di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menjadi tumpuan penduduk di sekitar kawasan itu apabila dikunjungi oleh Perdana Menteri ke-10, Yang Amat Berhormat, Dato‘ Seri Anwar Ibrahim. Dato‘ Seri Anwar Ibrahim yang diibaratkan “pulang ke kampung halaman“ tiba di Pulau Pinang. Beliau yang tiba bersama-sama isteri, Yang Berhormat Dr. Wan Azizah Wan Ismail disambut oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

            Sebaik sahaja selesai menghadiri acara Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Spice Arena, Dato‘ Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang menyantuni pusat penjaja makanan yang terletak di Bandar Perda. Beliau tiba di pusat penjaja tersebut kira-kira pukul 5.00 petang dan bersama-sama penduduk di sekitar Bandar Perda menikmati juadah yang disediakan oleh penganjur, termasuklah juadah yang dijual oleh para penjaja dalam acara Minum Petang Bersama-sama Rakyat di Lembah Makanan.

            Dalam ucapannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan keprihatinannya terhadap peniaga dan penjaja kecil yang turut menjadi nadi ekonomi negara. “Saya akan memberikan tumpuan kepada penjaja-penjaja kecil kerana mereka harus dibantu dan diberikan sokongan agar perniagaan mereka maju, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara sedang pulih selepas dilanda wabak COVID-19“. Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memberitahu sebab kenapa beliau menolak untuk menerima gaji Perdana Menteri. “Pemimpin harus tahu tanggungjawabnya dengan memikirkan cara untuk mengubah nasib rakyat yang susah kerana berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi,”demikian menurut Perdana Menteri yang turut melahirkan rasa gembira kerana dapat bersama-sama rakyat di Pulau Pinang pada kali ini selaku pemimpin tertinggi negara.

Sebelum itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan ucapannnya dengan pepatah, “tempat jatuh lagi dkenang, inikan pula kampung halaman,“ yang secara langsung menggambarkan rasa gembiranya kerana dapat berjumpa dengan orang kampungnya, terutamanya di kawasan Permatang Pauh.  Perdana Menteri turut meluahkan rasa syukur dengan apa yang telah diusahakan oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anuar yang telah mewujudkan satu kawasan khas untuk para penjaja makanan di Bandar Perda. “Saya amat bersyukur kerana Nurul Izzah turut menunjukkan rasa prihatinnya pada nasib penjaja kecil yang menjual makanan di sekitar Bandar Perda ini, lantas mengambil usaha mewujudkan Lembah Makanan, iaitu suatu tempat khas yang menempatkan penjaja-penjaja makanan yang sebelum ini menjual makanan mereka di merata-rata tempat di sekitar Bandar Perda.“

            Lembah Makanan merupakan hasil inisiatif Puan Nurul Izzah Anuar bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Yang Berhormat Norlela Ariffin yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bandar Perda. Lokasi Lembah Makanan terletak berdekatan dengan kawasan letak kereta Indah Water Konsortium telah dirasmikan oleh Puan Nurul Izzah Anwar pada 4 Disember 2022.

Lebih kurang 48 penjaja makanan ditempatkan secara berpusat dan sistematik di Lembah Makanan yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman, termasuklah makanan vendor yang dijual oleh penjaja. Pengunjung boleh membeli makanan seperti nasi kukus, kuetiaw goreng, dan nasi daging asam. Di situ juga turut dijual pelbagai jenis minuman seperti milo ais kepal, mangga susu, dan kopi pelbagai perisa. Ada juga dijual kuih-muih dan manisan serta koktel dan puding buah, termasuklah makanan bergoreng seperti ayam gunting, popia, donut, pisang goreng, keropok lekor dan cendawan goreng di Lembah Makanan.

Sesuai dengan namanya, Lembah Makanan menyediakan pelbagai jenis makanan daripada hidangan berat seperti nasi kepada hidangan ringan seperti kuih dan puding. Yang menariknya, sempena kunjungan Perdana Menteri, sebanyak 200 baucar bernilai RM5.00 diberikan kepada pengunjung dan baucar tersebut boleh digunakan pada hari tersebut sahaja untuk membuat pembelian makanan daripada semua gerai yang berniaga di Lembah Makanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.