Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Pusat Penyelidikan Insurans Iran (IRC) mengadakan kerjasama dalam program peningkatan pengetahuan takaful yang bertujuan untuk mengukuhkan industri tersebut.
Kerjasama itu akan mewujudkan perkongsian yang dinamik untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran setiap pihak dalam takaful dan sistem kewangan Islam. Kedua-dua organisasi itu akan bekerjasama dalam pemupukan pengetahuan, latihan dan pendidikan, pertukaran maklumat, menyediakan perundingan dan memupuk hubungan antarabangsa antara industri insurans domestik dengan perniagaan insurans antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed menyatakan bahawa mereka mengalu-alukan kerjasama dengan IRC sebagai sebahagian daripada komitmen untuk meningkatkan tahap industri. Beliau menambah kerjasama itu akan menjadi satu faktor penyumbang untuk mendorong pembangunan industri takaful dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara peneraju terbaik dalam ekonomi Islam global.
Ketua Pegawai Eksekutif IRC, Profesor Dr. Mohammad Mahdi Asgari pula menyatakan bahawa kerjasama itu akan memberikan manfaat daripada segi perkongsian pengetahuan mengenai takaful di peringkat antarabangsa. Tambah beliau lagi, kerjasama itu akan mengukuhkan dan meluaskan hubungan IRC dengan institusi akademik berkaitan mengenai penciptaan jurnal saintifik, persidangan saintifik pelbagai hala dan bengkel khusus antarabangsa.