13 Januari 2023, 21:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Xsolla yang merupakan syarikat dagangan permainan video global berpangkalan di Amerika Syarikat kini melebarkan sayapnya ke Kuala Lumpur.  Cawangan pejabat di Kuala Lumpur merupakan pejabat global terbesar di luar Los Angeles dan bertujuan untuk merebut peluang dalam pasaran permainan tempatan yang kian berkembang.
Presiden Xsolla, Chris Hewish menyatakan bahawa syarikatnya membuat keputusan untuk membuka pejabat di sini disebabkan oleh kedudukan Malaysia sebagai pasaran permainan ketiga terbesar di Asia. Secara keseluruhannya, pasaran permainan video itu dianggarkan lebih USD200 bilion pada tahun ini dan angka di Malaysia hampir mencecah hampir USD800 juta. Oleh itu, kami telah mengambil keputusan tersebut kerana pihak kami tertarik untuk berada di satu lokasi bercirikan ekosistem permainan yang kukuh dan membolehkan pengembangan pemaju dan syarikat. Bukan itu sahaja, ada syarikat permainan besar yang turut membuka pejabat di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz menyatakan bahawa agensi itu mengalu-alukan kehadiran Xsolla ke Malaysia dan melaungkan keyakinannya terhadap ekosistem kandungan digital negara yang turut mengiktiraf kemampuan serta kapasiti negara ini. beliau menambah bahawa MDEC akan terus berusaha untuk memberikan kemudahan bagi pengembangan dan pertumbuhan rakan utama dalam memanfaatkan negara ini sebagai hab bagi memulakan serta mengembangkan usaha ke rantau Asean secara meluas. MDEC yakin Malaysia akan terus menjadi hab digital pilihan menerusi inisiatif strategik nasional iaitu Malaysia Digital.
Xsolla menyifatkan pengembangan itu membolehkannya menawarkan lebih banyak produk inovatif kepada lebih banyak syarikat permainan di serata dunia. Xsolla menawarkan penyelesaian industri bagi membantu pemaju segmen mudah alih, komputer peribadi dan permainan video berasaskan laman sesawang mengembangkan audiens serta meningkatkan penjanaan keuntungan daripada permainan. Langkah pengembangan ke Kuala Lumpur juga seiring dengan peningkatan bilangan syarikat permainan mudah alih ke Asia. Keadaan itu membolehkan Xsolla menawarkan produk yang selari dengan keperluan pasaran selain membantu rakan niaga kami berurusan terus dengan pengguna.
Syarikat itu membantu pemaju permainan video dari segi pembiayaan, pelancaran, pasaran, menjana keuntungan dan menjual permainan mereka ke lebih 200 negara di seluruh dunia. Setakat ini, Xsolla membantu pemaju mendapat akses kepada pemain baharu menerusi transaksi dalam lebih daripada 130 mata wang serta lebih 20 bahasa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.