22 Disember 2022, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura –  Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Dr. Azfar Mohamad Mustafar menyembah maklum kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tentang prospek kerjasama baharu ekonomi digital, ekonomi hijau dan e-dagang  antara Malaysia dengan Singapura. Tiga bidang awal yang dikenal pasti ialah kemudahan jualan eksport e-dagang oleh PKS tempatan ke  Singapura; kerjasama antara Malaysia Digital Hub (MDH) MDEC dengan BLOCK 71 Singapura dalam ekosistem permulaan (startup) dan e-dompet.

Bidang kerjasama lain yang sedang dibincangkan ialah industri 4.0, pembuatan termaju, sektor perkhidmatan, e-dagang, industri aeroangkasa dan eko-pelancongan. Beliau telah menyembah maklum kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu baginda mahu berangkat ke Doha di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat bersama-sama baginda.

Sempena pertemuan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs sebanyak RM5000 kepada Dato’ Dr. Azfar yang menerima bagi pihak Pejabat Pesuruhjaya Tinggi berkenaan. Sumbangan itu adalah untuk digunakan bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Tambah Dato’ Dr. Azfar lagi, Malaysia terus kekal sebagai rakan dagangan ke-2 terbesar Singapura selepas China, dengan jumlah dagangan sebanyak RM426.6 bilion, iaitu meningkat sebanyak 23.8% untuk tempoh yang sama pada tahun 2021. Pelabur dari Singapura juga terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.