15 Disember 2022, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Malaysia telah mencatatkan  prestasi pelaburan diluluskan bernilai RM193.7 bilion dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama yang melibatkan 2786 projek bagi tempoh Januari hingga September 2022.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memaklumkan bahawa jumlah tersebut bakal menjana sebanyak 98 414 peluang pekerjaan baharu di negara ini. Selain itu, angka pelaburan diluluskan tersebut telah meningkat sebanyak  2.5% berbanding RM188.9 bilion bagi tempoh sama tahun lepas. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kejayaan tersebut telah membuktikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.
Tambah beliau, MITI dan agensi yang berkaitan akan memastikan agar peluang pelaburan baharu dapat membina kapasiti dan modal insan bersesuaian dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan. MIDA turut menjelaskan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5% atau RM130.7 bilion manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 32.5% atau RM63 bilion. Angka itu telah meningkat sebanyak 15% berbanding FDI diluluskan bagi tempoh sama pada tahun 2021.
MIDA menjelaskan bahawa China telah mendominasi pelaburan asing ke Malaysia iaitu  sebanyak RM49.2 bilion dan seterusnya Amerika Syarikat sebanyak RM16.9 bilion, Belanda sebanyak RM16.5 bilion, Jerman sebanyak RM9.2 bilion dan Singapura sebanyak RM8.7 bilion). Sementara itu, lima buah negeri telah menarik pelaburan diluluskan yang signifikan ialah Johor sebanyak RM63.9 bilion, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM26.1 bilion, Selangor sebanyak RM25.7 bilion, Sarawak  sebanyak RM17.6 bilion dan Kedah sebanyak RM12.1 bilion.
MIDA turut menambah sektor perkhidmatan telah memainkan peranan penting untuk memacu pemulihan ekonomi negara yang merangkumi 58.5% daripada jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM113.3 bilion.  Sektor perkilangan merekodkan jumlah pelaburan sebanyak berjumlah RM64.9 bilion dan sektor utama sebanyak RM15.5 bilion.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.