5 Disember 2022, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menggariskan tiga keutamaan untuk memulihkan keyakinan pelabur berdasarkan jangkaan ekonomi global yang dijangka perlahan pada tahun hadapan.
Beliau mengulas tiga keutamaan itu ialah memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama ekonomi negara, memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) serta memastikan penggubalan dan pelaksanaan  perjanjian perdagangan dua hala mahupun pelbagai hala akan memberikan nilai dan kelebihan kepada pemain industri domestik dalam rantaian bekalan Malaysia terutamanya bagi sektor ekonomi PKS kecil dan mikro. Beliau menambah bahawa Malaysia memerlukan peningkatan FDI disebabkan oleh FDI telah lama menjadi pembina utama daya tahan ekonomi dan merupakan antara sumber tukaran mata wang asing terbesar negara.
Beliau berikrar untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur serta antara negara kekal berdaya saing global dari segi perdagangan. Beliau akan memberikan cadangan untuk mewujudkan dana pelaburan khas bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi yang bakal menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi ketika pembentangan semula Belanjawan 2023. Beliau turut akan memberikan penekanan kepada industri berasaskan teknologi seperti industri aeroangkasa, kimia dan petrokimia, nanoteknologi, teknologi kesihatan dan pembuatan pintar. Beliau menambah bahawa usaha tersebut akan disesuaikan dengan membangunkan  modal insan yang boleh menyumbang kepada penstrukturan semula ekosistem perdagangan Malaysia bagi jangka masa sederhana dan panjang.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.