2 Disember 2022, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mahu memanfaatkan potensi industri kenderaan rekreasi (RV) yang semakin berkembang di rantau ini.
Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Norazman Ayob menyatakan bahawa pihak kementerian telah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ECERDC untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi seperti industri RV ke Malaysia. Pengembangan industri tersebut berpotensi membawa masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit ke Malaysia.
Beliau menyatakan bahawa pihaknya berterima kasih kepada pelabur dari Jerman kerana memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan ideal untuk menubuhkan industri RV. Usaha itu untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan terutamanya untuk pelabur Jerman seperti Knaus Tabbert AG dan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab RV untuk pasaran ASEAN dan Asia Pasifik. Pertumbuhan industri RV akan merangsang ekonomi tempatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Knaus Tabbert AG, Wolfgang Speck menyatakan bahawa syarikat itu berharap dapat bekerjasama dengan ECERDC dan menubuhkan kemudahan pembuatan RV di rantau ECER. Permintaan untuk industri RV telah menunjukkan peningkatan yang ketara di peringkat global. Pasaran itu diunjurkan berkembang dan menjadi industri berpotensi berbilion ringgit di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Malaysia yang mempunyai FTA dengan China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand mempunyai potensi besar untuk menjadi hab karavan bagi rantau Asia Pasifik.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.