1 Disember 2022, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah USD105.23 bilion pada akhir Oktober 2022 berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa aset mata wang asing lain berjumlah USD5.8 juta.
Bank pusat itu menyatakan bahawa butiran terperinci rizab antarabangsa tersebut memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, aset mata wang asing lain selain jangkaan, prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang. Aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah USD13.52 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan bil antara bank dalam mata wang asing Bank Negara. Kedudukan jualan hadapan ialah sebanyak USD24.38 bilion pada akhir Oktober 2022 yang mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. Menurut BNM, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Selain itu, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah USD1.94 billion untuk tempoh 12 bulan akan datang. BNM menyatakan bahawa satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah USD399.4 juta. Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.