1 Disember 2022, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur –  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa kadar inflasi Malaysia pada Oktober 2022 turun kepada 4.0% berbanding dengan 4.5% yang direkodkan pada September 2022. Bagaimanapun, kadar ini masih lagi melepasi purata inflasi negara bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2022 iaitu pada 2.0%.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober 2022 meningkat 4.0% kepada 128.6 berbanding 123.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Beliau menyatakan bahawa bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia pada Oktober 2022  lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (7.7%), Thailand (6.0%), Indonesia (5.7%) dan Korea Selatan (5.7%). Kadar inflasi zon Euro terus memecah rekod tertinggi semenjak ditubuhkan dan melonjak kepada 10.7% pada Oktober 2022 daripada 9.9% pada bulan sebelumnya. Kadar itu didorong oleh inflasi tenaga (41.9%); makanan, alkohol dan tembakau (13.1%); barangan perindustrian bukan tenaga (6.0%) dan perkhidmatan (4.4%).
Beliau menambah bahawa kadar inflasi di Amerika Syarikat reda kepada 7.7% pada Oktober 2022 berbanding September 2022 (8.2%). Beliau turut mengulas bagi peringkat domestik, peningkatan menyederhana inflasi Oktober 2022 telah didorong oleh peningkatan perlahan kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang telah berkurangan kepada 1.5% berbanding 4.0% pada September 2022. Peningkatan perlahan ini disumbangkan oleh ketiadaan pengaruh kesan asas susulan penamatan diskaun elektrik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bermula Julai hingga September 2021.
Bagaimanapun, inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan sebanyak 7.1% berbanding 6.8% yang dicatatkan pada September 2022. Terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding September 2022. Antaranya ialah subkumpulan sayur-sayuran meningkat 4.8% berbanding 6.3% manakala minyak dan lemak meningkat 2.6% berbanding 3.8% pada September 2022. Selain daripada kumpulan makanan, kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Restoran dan hotel meningkat 6.8% diikuti oleh pengangkutan (5.2%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.1%) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (3.4%).
Sementara itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.4% perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.5%) dan pendidikan (1.4%). Kumpulan kesihatan serta kumpulan minuman alkohol dan tembakau masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.0% dan 0.8%, manakala pakaian dan kasut meningkat secara marginal sebanyak 0.4% berbanding Oktober 2021.
Kadar inflasi bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022 meningkat 3.3% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.5%), pengangkutan (4.6%) dan restoran dan hotel (4.6%).
Bagi perbandingan bulanan, kenaikan inflasi Oktober 2022 mencatatkan 0.2% berbanding 0.1% pada September 2022 yang disumbangkan terutamanya oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (0.5%), manakala restoran dan hotel serta pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing meningkat 0.3%. Peningkatan marginal pengangkutan sebanyak 0.1% turut menyumbang kepada peningkatan ini.
Selain itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa menjelaskan tiga negeri menunjukkan peningkatan melebihi paras nasional 4.0% ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.6%), Selangor (4.9%) dan Sarawak (4.3%).
Namun begitu, Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling kecil sebanyak 2.3%. Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor (8.8%) diikuti oleh Sarawak (7.8%), Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya masing-masing sebanyak 7.6%, Johor (7.3%) dan Sabah (7.2%).
Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 7.1% pada Oktober 2022. Kadar inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3000 meningkat 3.9% daripada 124.3 pada Oktober 2021 kepada 129.1 pada Oktober 2022. Peningkatan ini disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel sebanyak 7.5%, diikuti oleh makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 6.8%, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.4%); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (3.4%); pengangkutan (3.0%) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.1%).
Beliau juga menambah inflasi teras mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan. Inflasi teras telah mencatatkan peningkatan 4.1% pada Oktober 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.