Oleh Ritah Yahaya
29 November 2022, 21:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semporna, Sabah – Menjunjung prinsip kemakmuran negara dinikmati bersama, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melalui Kor Penyelaras Pasukan Beruniform (KPPU) melaksanakan Program Retreat 2.0 & CSR 3.0 KPPU HASiL Kasih Prihatin untuk menyantuni Pasukan Petugas Barisan Hadapan (ESSCOM dan Pasukan Polis Marin) serta penduduk di sekitar Madrasah Islamiah Kampung Pulau Mabul Semporna, Sabah pada 25 November 2022.

Program anjuran KPPU dengan kerjasama Pejabat Pengarah Negeri Sabah (PPNS) dan Cawangan HASiL Tawau membuktikan bahawa peranan dan tanggungjawab Keluarga HASiL tidak hanya terhad kepada mentadbir cukai langsung semata-mata, tetapi turut membantu masyarakat serta pasukan petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Program CSR Hasil Kasih Prihatin yang telah diadakan sebelum ini dan pada kali ini sumbangan
yang telah disampaikan adalah seperti yang berikut:

  1. Sumbangan makanan dan barangan keperluan pantri kepada Pasukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Bohey Dulang, Pos Pulau Sibuan dan Pasukan Polis Marin di pos Pulau Mabul serta anak-anak sekitar Mabul;
  2. Sumbangan wang tunai berjumlah RM35 000.00 melalui pelancaran Tabung Dana Infaq Jariah Keluarga HASiL bagi membiayai kos pengurusan serta pembiayaan gaji tiga orang guru di Madrasah selama setahun dan;
  3. Sumbangan peralatan sukan yang merangkumi sukan bola sepak, bola keranjang, bola tampar dan sepak takraw bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda di Kampung Pulau Mabul;
  4. Penyerahan sebanyak 343 buah buku agama untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran Guru dan Murid  Tahun Satu hingga Tahun Enam di Madrasah.

KPPU HASiL juga telah dimaklumkan oleh pegawai bertugas ESSCOM di Pulau Bohey Dulang bahawa HASiL merupakan agensi pertama yang mengadakan CSR seumpama ini. Penyerahan sumbangan  disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohd Jaafar bin Embong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) merangkap Komandan KPPU HASiL kepada YBrs. Ustaz Morshid bin Harun, Mudir Madrasah Islamiah Kampung Pulau Mabul Semporna, Sabah.

Turut hadir menyaksikan penyerahan di setiap sesi penyampaian CSR ialah Tuan Haji Hisham bin Rusli, Pengarah Jabatan Operasi Cukai merangkap Timbalan Komandan BOMBA HASiL, Tuan Fuad bin Ayob, Pengerusi WATANIAH HASiL, Tuan Haji Nasruddin bin Mat Nasir, Pengerusi BOMBA HASiL, Encik Mohamad Razli Mohamad Ali, Pengarah Cawangan Tawau, Tuan Mohamad Asri bin Mohamad Ali, Pengerusi CDERT HASiL, Tuan Haji Mohd Husni Mohd Noor, Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam (PERKIS) Cyberjaya dan Encik Zainal Nazim bin Zainal Abidin Wakil Koperasi HASiL (Kohasil).

YBhg. Datuk Mohd Jaafar bin Embong dalam ucapan beliau berkata, “HASiL amat komited meneruskan usaha menyantuni rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat melalui pelbagai bantuan melalui inisiatif tanggungjawab korporat sosial di samping membantu meringankan beban golongan masyarakat B40 serta melahirkan warga kerja HASiL yang prihatin. Pada masa yang sama, HASiL sentiasa akan melaksanakan fungsi dan peranannya secara adil, profesional dan berintegriti sekali gus meningkatkan kutipan cukai negara agar hasilnya akan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.”

Pelaksanaan serta penganjuran berterusan program seperti ini merupakan tanda sokongan padu HASiL kepada pembangunan modal insan, termasuklah kepada masyarakat luar bandar dan  merupakan satu pendekatan strategik HASiL untuk mendekatkan diri kepada masyarakat. Adalah diharapkan agar program CSR seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu Pasukan Petugas Barisan Hadapan yang sentiasa komited berkorban menjaga kedaulatan negara selain dapat meringankan beban bagi golongan yang kurang bernasib baik.

 

YBhg. Datuk Mohd Jaafar bin Embong, TKPE (Dasar) (keempat dari kanan) bersama dengan Pasukan Kor Penyelaras Pasukan Beruniform (KPPU) menyerahkan bantuan makanan dan barangan keperluan pantri kepada Pasukan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Bohey Dulang dan Pos Pulau Sibuan.
Tuan Haji Hisham bin Rusli, Pengarah Jabatan Operasi Cukai merangkap Timbalan Komandan BOMBA HASiL (tengah) bersama-sama Pasukan Kor Penyelaras Pasukan Beruniform (KPPU) menyerahkan bantuan makanan serta barangan keperluan pantri kepada Pasukan Polis Marin, Pulau Mabul, Sabah.
YBhg. Datuk Mohd Jaafar bin Embong, TKPE (Dasar) (tiga dari kiri) merangkap Komandan KPPU HASiL menyerahkan cek berjumlah RM 35 000.00 melalui pelancaran Tabung Dana Infaq Jariah Keluarga HASiL kepada YBrs. Ustaz Morshid bin Harun, (keempat dari kanan) Mudir Madrasah Islamiah Kampung Pulau Mabul Semporna, Sabah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.