23 November 2022, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kerugian Pos Malaysia Bhd. bagi suku ketiga semakin mengecil dengan kumpulan terus memberikan fokus untuk melaksanakan pelan transformasi, pengurusan kos yang efektif dan menyediakan perkhidmatan terbaik di sebalik persekitaran operasi yang mencabar.
Penyedia perkhidmatan pos dan kurier ini merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM36.2 juta susut 10.5% berbanding dengan RM40.5 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya meskipun pendapatan susut 8.3% kepada RM492 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2022. Pos Malaysia menyaksikan LBT juga berkurangan sebanyak 68% kepada RM65.9 juta berbanding dengan RM206 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu dengan pendapatan merosot 10.3% kepada RM1.49 bilion bagi tempoh sembilan bulan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Bewer menyatakan bahawa pasukan Pos Malaysia telah bekerja keras untuk memastikan kumpulan terus mencatat kemajuan dengan transformasi yang dilaksanakan meskipun berdepan dengan persekitaran makroekonomi yang mencabar di peringkat domestik dan global. Beliau menjangkakan prospek kewangan akan terus mencabar dan dipengaruhi tekanan makroekonomi yang akan terus menekan pasaran e-dagang pasca pandemik sedia ada.

Selain itu, penyumberan dalam yang dipercepat oleh pasaran e-dagang, amalan penetapan harga yang agresif dan “masking” terus memberikan tekanan kepada jumlah bungkusan, bukan sahaja untuk Pos Malaysia tetapi untuk semua pemain industri kurier dan logistik di negara ini. Namun, Pos Malaysia tetap komited dengan tujuan untuk membina kepercayaan dalam menghubungkan kehidupan dan perniagaan untuk hari esok yang lebih baik.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.