22 November 2022, 21:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research membuat jangkaan kadar inflasi Malaysia akan berada antara 2.3% dan 2.5% pada tahun 2023 disebabkan oleh kerajaan perpaduan yang baru dibentuk dijangka mengekalkan status quo mekanisme subsidi bahan api semasa.
Firma itu menyatakan bahawa berdasarkan pelan tindakan manifesto Pakatan Harapan (PH), pihak kerajaan mungkin mengkaji semula amalan monopoli terhadap beberapa perkara berkaitan pertanian dan menggubal polisi baharu untuk meningkatkan bekalan pengeluaran dan menurunkan harga makanan. Firma itu menjangkakan bahawa jika status quo subsidi bahan api dikekalkan, kadar inflasi keseluruhan diunjurkan berada antara 2.3% dan 2.5% pada tahun 2023.
Firma itu turut menambah Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Januari tahun depan selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4% tahun ke tahun pada Oktober 2022. Walaupun inflasi keseluruhan Malaysia terus berada pada aliran sederhana pada Oktober 2022, tetapi kadar itu masih lebih tinggi daripada konsensus pasaran sebanyak 3.9%.
MIDF Research turut menaikkan unjuran IHP keseluruhan sebanyak 0.2% kepada 3% pada tahun 2022 dengan permintaan domestik yang kukuh dan jangkaan pertumbuhan harga makanan mencatatkan 5.5% pada tahun ini berikutan penyusutan dolar AS dan ringgit. Faktor tolakan penawaran terhadap inflasi dijangka rendah yang disokong oleh peningkatan dolar AS dan ringgit, harga makanan yang sederhana, tekanan rantaian bekalan global yang berkurangan dan harga komoditi yang kembali normal ketika melangkah ke tahun 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.