17 November 2022, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sepang – Firefly melancarkan laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN)  ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda (BTJ) di Banda Aceh, Indonesia.
Penerbangan FY3510 mula menggunakan laluan baharunya semalam ketika berlepas dari PEN pada 10:50 pagi waktu tempatan dan tiba pada 11:10 pagi di BTJ dengan menggunakan pesawat Boeing 737-800. Syarikat penerbangan di bawah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) itu akan mengendalikan perkhidmatan dua kali seminggu ke BTJ dari PEN dan sebaliknya berlepas pada hari Isnin dan Jumaat melalui penerbangan FY3510 dan FY3511.
Kekerapan perkhidmatan akan meningkat secara beransur-ansur kepada empat kali seminggu mulai Disember tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan rangkaian di seluruh ASEAN. Majlis sambutan telah diadakan di BTJ dengan kehadiran ketua jualan global MAG Roslan Ismail, manakala pasukan pengurusan Firefly antara penumpang yang menyertai penerbangan sulung itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See menjangkakan bahawa ini akan lebih memudahkan masyarakat Aceh untuk mengunjungi keluarga dan teman-teman mereka dan mendorong kemasukan pelancong perubatan dan percutian yang tinggi. Mereka juga boleh mendapatkan rawatan perubatan daripada pusat perubatan yang ditubuhkan, meneroka warisan Pulau Pinang dan membolehkan pelajar mendaftar di universiti dan kolej Malaysia yang diiktiraf antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pelancongan dan Kebudayaan Aceh Almunizar Kamal menyatakan bahawa laluan itu mampu membantu memacu pertumbuhan pelancongan kedua-dua belah pihak, Aceh dan Pulau Pinang. Beliau turut menambah bahawa Aceh yang terletak di barat laut Indonesia terkenal dengan pelancongan pantai yang menarik, bangunan pelancongan bersejarah, kulinari istimewa dan kopi. Situasi itu akan menjadi tarikan hebat untuk pelancong yang datang ke sana.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.