16 November 2022, 09:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Firma penyelidikan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini akan berkembang melebihi 8% setelah merekodkan pertumbuhan luar biasa pada suku ketiga pada 14.2%.
Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada hari jumaat lalu menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang kukuh pada suku ketiga disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap. Pertumbuhan itu lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9% dan lebih kukuh berbanding 5% yang dicatatkan pada suku pertama 2022 menjadikan pertumbuhan bagi tempoh sembilan bulan sebanyak 9.3%.

Pada kali terakhir ekonomi negara ini mencatatkan pertumbuhan dua angka ialah pada suku kedua tahun lalu sebanyak 16.1%. Maybank Investment Bank (IB) telah menyemak naik pertumbuhan tahun ini kepada 8% daripada 6% yang dijangkakan sebelum ini meskipun ekonomi suku keempat dijangka berkembang sederhana. Menurut firma itu, terdapat beberapa pemangkin dalam tempoh terdekat terutamanya keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini dan implikasi terhadap kestabilan politik dan dasar yang lebih jelas.

Bagaimanapun, firma itu masih mengekalkan jangkaan pertumbuhan yang lebih sederhana pada tahun 2023 sekitar 4% ekoran kemelesetan ekonomi global oleh negara ekonomi utama dan kesan daripada persekitaran “inflasi tinggi-kadar faedah tinggi”.
Firma itu turut menambah antara faktor yang mengurangkan kesan buruk terhadap prospek pertumbuhan domestik termasuklah pengeluaran lebihan simpanan isi rumah/individu dan sektor pelancongan kembali pulih menjadi penampan kepada perbelanjaan pengguna.
AmInvestment Bank pula menyatakan bahawa walaupun Malaysia mencatatkan  pertumbuhan kukuh suku ketiga, ketidaktentuan dijangka bermula pada suku keempat dan seterusnya dengan menyaksikan beberapa petunjuk daripada sektor pembuatan.
Firma itu menjangkakan aktiviti perdagangan semakin perlahan terutamanya disebabkan aktiviti ekonomi yang lembap daripada negara dagangan utama seperti China dengan data terkini eksport dan import menunjukkan penurunan sejak Ogos. Situasi itu juga bertepatan dengan angka Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang telah berada dalam aliran menurun sejak Julai 2022 dan jatuh di bawah ambang 50 sejak September 2022.
Penurunan ini disebabkan oleh permintaan yang lebih perlahan daripada luar disebabkan oleh ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan kawasan Euro sedang menuju ke arah kelembapan. Selain itu, sektor perladangan sawit masih kekurangan 54 630 daripada kira-kira 437 212 pekerja yang diperlukan berdasarkan anggaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Malah, levi berbilang peringkat yang dicadangkan dalam bajet boleh melemahkan pemulihan sektor itu. Selain itu, kenaikan kos sara hidup masih menjadi isu utama dan inflasi makanan masih lagi tinggi tahun ini yang meningkat 5.3% setakat ini.
Firma itu juga menjangkakan bahawa kemungkinan KDNK suku keempat lebih perlahan kekal tinggi  dengan kenaikan kos sara hidup dan kos perniagaan yang semakin tertekan. Selain itu, ketidaktentuan juga dijangka berlaku semasa kita melangkah ke tahun 2023.
Namun, firma itu masih mengekalkan unjuran KDNK tahun 2022 tahun ini sekitar 8.5% hingga 9% dengan pertumbuhan suku keempat dijangka berlegar pada 6% hingga 8% dipacu penggunaan swasta, perdagangan luar dan kesan asas yang rendah.
Pada tahun 2023, firma itu menjangkakan pertumbuhan yang lebih sederhana pada 4.5% memandangkan risiko penurunan menjadi lebih ketara. Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut menyemak semula pertumbuhan tahun ini kepada 8.2% daripada 6.5% sebelum ini berdasarkan kepada pertumbuhan suku ketiga yang lebih kukuh daripada jangkaan. Walaupun bagaimanapun, pertumbuhan dijangka sederhana pada suku keempat kerana ketiadaan kesan asas dan permintaan luar yang lemah, ekonomi dijangka terus disokong oleh permintaan dalam negeri ketika keadaan pasaran buruh yang semakin baik.
Firma itu menjangkakan inflasi utama dan teras dijangka kekal tinggi pada tahun 2023 ketika  tekanan permintaan dan kos yang tinggi dan terdapat kemungkinan pelarasan kepada dasar di peringkat domestik. Oleh itu, kami menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas menjelang Mac 2023.
Firma itu turut menyemak turun unjuran KDNK 2023 kepada 4.2% daripada 4.5% sebelum ini dengan mengambil kira prospek ekonomi yang suram. Cabaran terhadap pertumbuhan ialah berikutan faktor luaran termasuk ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan yang berterusan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.