Oleh Ritah Yahaya
14 November 2022, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Funding Societies, platform pembiayaan digital PKS terbesar di Asia Tenggara, mengumumkan kerjasama dengan pengeluar kereta nasional PROTON untuk menyediakan kemudahan kredit kepada pengedar PROTON untuk pembelian kereta bagi pembiayaan penstokan lantai (floor stocking).

Funding Societies diasaskan pada tahun 2015 untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara dengan memperluas akses pembiayaan PKS  dengan menyelesaikan kekangan-kekangan utama pembiayaan yang sering dihadapi PKS termasuk ketiadaan cagaran, keperluan dokumentasi yang merumitkan, serta tempoh pemprosesan yang panjang. Penyelesaian kekangan ini selari dengan komitmen Funding Societies untuk mengurangkan jurang pembiayaan PKS di Malaysia dan di rantau ini, lebih-lebih lagi memandangkan PKS merupakan tunjang ekonomi negara.

Chai Kien Poon, Ketua Negara, Funding Societies Malaysia, “Permintaan untuk kenderaan persendirian menyaksikan peningkatan sejak separuh kedua 2020. Hal itu didorong kebimbangan masyarakat terhadap pengangkutan awam (impak krisis COVID-19) serta dasar kerajaan berketepatan semasa pandemik. Dengan fasiliti kredit pusingan, Funding Societies, pengedar PROTON boleh memanfaatkan pertumbuhan tersebut dengan meningkatkan inventori bagi tujuan jualan dengan meningkatkan inventori stok lantai kereta terpakai.”

“Selaras dengan misi Funding Societies untuk memperluas kemudahan pembiayaan kepada PKS terpinggir yang berkelayakan kredit, kemudahan kredit pusingan ini memberikan pengalaman pembiayaan lebih lancar kepada pengedar PROTON. Mereka boleh menggunakan kemudahan itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja selepas pengaktifannya. Di samping itu, pengedar akan turut mempunyai akses kepada sistem pembiayaan rantaian bekalan dalam talian kami untuk menguruskan fasiliti pembiayaan mereka,” tambah Chai.

“Dengan peningkatan jumlah jualan PROTON sejak beberapa tahun ini, kami telah melihat peningkatan transaksi jual atau tukar beli. Melalui kemudahan pembiayaan pengedar yang disediakan oleh Funding Societies, pengedar kami boleh membiayai pembelian pembiayaan penstokan lantai bagi membolehkan transaksi tukar beli,” kata Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa, Pengurus Besar, Proton Edar.

Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa (kiri), Chai Kien Poon

Sejak penubuhannya pada tahun 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) PROTON telah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada Pemeriksa Kereta Terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh jenama tersebut. Pada masa ini, syarikat itu mempunyai 35 cawangan yang menjual kenderaan Proton Certified Pre-Owned (PCPO) di negara ini.

“Pengedar yang berminat untuk memohon pembiayaan tersebut boleh melayari platform dalam talian Funding Societies. Mereka menyediakan pembiayaan sehingga 85% daripada nilai transaksi dengan tempoh pembayaran balik sehingga 90 hari. Dengan kemudahan fasiliti ini, pengedar kami boleh mengembangkan perniagaan mereka dengan mengumpul modal jangka pendek untuk menguruskan aliran tunai mereka serta menggunakannya untuk pembelian kereta baharu daripada Proton Edar,” rumus Wan Ahmad Fadzli.

Kenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 mata dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar. Pelanggan juga menikmati lanjutan jaminan selama 1 tahun yang meliputi enjin dan transmisi serta satu sesi perkhidmatan servis percuma dalam tempoh enam bulan dari tarikh pendaftaran.

Dengan peralihan kepada platform dalam talian yang semakin meningkat, UCM juga telah menyediakan laman web kereta terpakai PROTON khusus (http://used-cars.proton/com) untuk menarik pembeli yang celik teknologi. Pembeli boleh melihat stok tanpa berkunjung ke bilik pameran dan melayari laman web untuk mendapatkan anggaran harga pasaran kereta terpakai.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.