11 November 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Purata harga bar keluli di Malaysia merosot 1.6% bulan ke bulan kepada RM3663.54 setiap tan pada Oktober 2022 menandakan penurunan buat bulan keempat berturut-turut sejajar dengan pengurangan harga keluli di seluruh dunia yang terjejas akibat kebimbangan permintaan.
Namun, bagi asas tahun ke tahun, harga keluli masih meningkat 12.3%, tetapi pada kadar yang lebih perlahan sejak Mei 2021. Pada masa sama, harga simen turut mencatat penurunan 0.5% bulan ke bulan kepada RM20.81 per 50 kilogram beg. Menurut MIDF Research, walaupun harga bahan binaan masih kekal tinggi, tetapi telah memperlihatkan trend penurunan sejak beberapa bulan lalu. Oleh itu, fenomena itu bukan satu risiko besar kepada sektor pembinaan.

Sebaliknya, firma itu menjangkakan margin akan terus bertambah baik pada suku keempat dan seterusnya meskipun dipengaruhi oleh kos buruh yang lebih tinggi. “Hal itu berikutan masalah kekurangan pekerja asing kerana kontraktor membayar lebih untuk projek penting, tetapi kami menjangkakan keadaan ini akan bertambah baik pada masa hadapan kerana pembinaan adalah antara sektor yang dibenarkan untuk mengupah pekerja dari semua 15 negara sumber yang dibenarkan.” 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam menunjukkan seunit besi merekodkan penurunan 1.3% berbanding September 2022 dan mencatatkan penurunan dua bulan berturut-turut. Selain itu, indeks harga seunit simen dan keratan keluli dan logam juga mencatatkan penurunan masing-masing 0.8%. Terdapat bahan binaan lain yang kekal tidak berubah iaitu papan lapis bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak; kayu dan pasir bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Batu baur dan bahan siling juga kekal tidak berubah bagi semua kawasan di Sarawak.
Namun begitu, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 3.7% hingga 12.1% pada Oktober 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu. Indeks harga bagi seunit bagi besi dan keratan keluli dan logam telah meningkat masing-masing 6.3% dan 6.4% bagi tempoh tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.