5 November 2022, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Selangor – Kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah sejak pandemik COVID-19 bermula iaitu 3.7%. Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa ini merupakan hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam usahanya meningkatkan peluang pekerjaan, mengukuhkan pasaran buruh dan seterusnya menyokong momentum pertumbuhan sosioekonomi negara. Inisiatif itu ialah Insentif Penggajian, Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU).
Penurunan ini turut dipengaruhi dasar-dasar lain yang menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh selama tiga suku ekonomi berturut-turut.
Langkah kerajaan seperti membuka semula ekonomi dengan selamat dan teratur juga memacu permintaan pengguna domestik dan luar negara, seterusnya berjaya merangsang pertumbuhan perniagaan serta perdagangan yang kukuh.
Ketika pandemik COVID-19, kadar pengangguran meningkat kepada 4.5% pada tahun 2020 dan berada pada paras 4.6% tahun lalu. Beliau menjelaskan bahawa kerajaan membelanjakan sebanyak RM21 bilion melalui Program Subsidi Upah yang memanfaatkan 358 158 majikan serta menyelamatkan 2.96 juta pekerjaan sejak  diperkenalkan pada 1 April lalu.
Beliau menambah kerajaan bercadang membangunkan sebanyak 13 buah lagi Pusat Satelit MyFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara. “Usaha ini adalah bagi meningkatkan peluang pekerjaan khususnya komuniti luar bandar. “Pusat satelit ini  penting untuk merapatkan jurang di antara kerajaan persekutuan dan penduduk di bandar kecil dan di peringkat akar umbi. “Sehingga kini terdapat 150 pusat satelit secara keseluruhan.” Inisiatif pusat satelit ini merupakan kerjasama Perkeso dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.