3 November 2022, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%. Kenaikan itu merupakan kenaikan keempat berturut-turut sejak Mei tahun ini apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.
Pada mesyuarat terakhirnya untuk tahun ini, bank pusat turut menyatakan bahawa kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%. BNM turut menambah bahawa pelarasan ini juga akan menguruskan secara lebih awal berhubung dengan risiko tekanan permintaan terhadap harga yang berlebihan dan selaras dengan penyesuaian semula penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan dalam negeri yang mampan.
Mesyuarat turut meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2023 dengan mesyuarat pertama akan diadakan pada 18 dan 19 Januari 2023. Menurut BNM, sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan terus dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.
Penunjuk terkini ekonomi Malaysia menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi terus bertambah kukuh pada suku ketiga tahun 2022 didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang teguh. “Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan meskipun persekitaran global mencabar. Perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan yang bertambah baik.”
Pada masa yang sama, ketibaan pelancong telah meningkat susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan akan mengukuhkan lagi sektor berkaitan pelancongan manakala aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun.”Walau bagaimanapun, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan. “Meskipun terdapat episod volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pertumbuhan Malaysia.”
BNM menambah keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi, pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur manakala institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.
Hal ini akan memastikan pengantaraan kewangan terus menyokong ekonomi. Sementara itu, BNM juga menyatakan bahawa inflasi keseluruhan mungkin berada pada tahap tertinggi pada suku ketiga 2022 dan dijangka menjadi sederhana, meskipun kekal pada tahap tinggi selaras dengan penilaian sebelum ini.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, diunjurkan untuk berpurata lebih hampir kepada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022, setelah berpurata 2.7% sejak awal tahun sehingga kini, berikutan wujudnya sedikit tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi. “Menjelang tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta apa-apa perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri.
“Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi.”
Walau bagaimanapun, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang lebih ketat secara agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.
BNM turut menyatakan bahawa ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China. “Kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa. “Tekanan inflasi berlarutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan yang kukuh, pasaran pekerja yang ketat serta harga komoditi yang tinggi meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.”¬† “Kesan daripada ini, banyak bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah bagi menguruskan tekanan inflasi. Khususnya, pelarasan kadar faedah AS yang terus agresif dan jangkaan kadar penamat (terminal rate) yang lebih tinggi di AS telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang terus kukuh.”
Hal ini telah menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit. Pada masa hadapan, prospek pertumbuhan global akan terus menghadapi rintangan daripada keadaan kewangan yang lebih ketat berikutan inflasi yang lebih tinggi di ekonomi utama serta cabaran dalam negeri di China. “Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan terus menjadi lebih perlahan, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, halangan domestik di China yang semakin buruk dan kemungkinan catuan tenaga di Eropah.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!