Oleh Ritah Yahaya
28 Oktober 2022, 06:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pauh Putra – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar Malaysian Technical University Network (MTUN) memfokuskan misi membangunkan ekosistem keusahawanan yang mampan dan berdaya saing di universiti. Program perniagaan dan keusahawanan di MTUN perlu dioptimumkan untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran merancang dan menyertai peluang perniagaan dan keusahawanan sebelum bergraduasi. Inisiatif ini menyumbang kepada kelangsungan (survival) graduan TVET dalam dunia sebenar.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ketika berkenan berangkat merasmikan “Elsevier-MTUN Symposium 2022” yang diadakan di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra semalam.


Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai tuan rumah dengan kolaborasi MTUN dan Elsevier South East Asia yang julung-julung kalinya diadakan ini disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli dan Pengarah Wilayah Elsevier South East Asia, Omar Malik.

Antara universiti MTUN negara yang terlibat, termasuklah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sendiri.

Menurut Tuanku Raja Muda, “Graduan kini berhadapan dengan cabaran memasuki bidang pekerjaan bersesuaian dengan bidang pengajian yang diikuti di Universiti. Kita juga sedia maklum bahawa pasaran pekerjaan juga berubah dengan munculnya pelbagai kerjaya baru dengan penguasaan pengetahuan dan kemahiran baharu”.

Untuk rekod, Malaysia mengangkat TVET daripada program persijilan pada peringkat sekolah kepada pengajian tinggi, dan kini disemarakkan melalui penawaran program teknologi di MTUN. Memperkasakan  TVET bagi membangunkan dan mengembangkan bakat merupakan strategi Game Changer negara. Sesungguhnya, MTUN merupakan pemacu penting agenda berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.