26 Oktober 2022, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui TNB Global Business Solutions (TGBS) berjaya merangkul pengiktirafan tertinggi Anugerah Emas bagi Best Shared Services Team di majlis berprestij Shared Services & Outsourcing Network (SSON) Asia Impact Awards di Singapura.
TGBS mengatasi 11 syarikat gergasi lain seperti Coca-Cola Japan Business Services, British American Tobbaco, PepsiCo, Otis Worldwide dan Boston Scientific dalam senarai pendek akhir calon Best Shared Services Team (kategori utama) sesi penganugerahan tersebut. Anugerah tersebut merupakan pencapaian terbaik TGBS yang menempa nama empat tahun berturut-turut di SSON Asia Impact Awards dalam beberapa kategori mulai tahun 2019. Kejayaan ini diraih hanya selepas setahun penubuhan inisiatif Reimagining TNB bagi mengurus keperluan pelbagai warga kerja secara berpusat.
Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim menyatakan bahawa anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada TNB keseluruhannya yang menyokong perkhidmatan diberikan oleh bahagian berkenaan dan komitmen warga kerja TGBS membangunkan perkhidmatan cekap dalam tempoh singkat. Tambah beliau, kejayaan berterusan dalam penilaian SSON itu mengukuhkan lagi komitmen TNB terhadap agenda pembangunan mampan yang selari kepentingannya kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pada majlis itu juga, TNB turut dinobatkan antara Top 20 Most Admired Shared Services Organisations (SSOs) & Global Business Services (GBS) 2022 di dunia. Syarikat lain termasuklah Takeda, DHL, TESCO, Siemens, Qatar Airways, Kimberly-Clark, Celestica, Mars, Lexmark dan Woolworths Group yang merupakan syarikat bertaraf multi-nasional dan antarabangsa. TGBS turut mendapat sebutan penghormatan bagi kategori Business Transformation Impact Award dan Change Management Impact Award.
Psda tahun lalu, TGBS menerima pengiktirafan dalam tiga kategori di SSON Asia Impact Awards iaitu satu perak dan dua sebutan penghormatan. TGBS juga mendapat dua sebutan penghormatan lain pada dua tahun sebelum ini. SSON Asia Impact Awards merupakan anugerah industri tahunan peringkat global yang memberi penghormatan kepada perkhidmatan perniagaan dan pemimpin perniagaan yang memanfaatkan teknologi serta amalan terbaik dalam meningkatkan kecekapan operasi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.