Oleh Rosmani Omar
22 Oktober 2022, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat ke program Innovate Tech Show dan Global Drone Conference & Exhibition 2022 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur – Ekonomi digital memainkan peranan penting untuk Malaysia memperoleh semula daya saingnya, dengan menyedari bahawa penggunaan teknologi dan inovasi akan menjadi teras untuk memacu pertumbuhan dalam semua sektor.

Penggunaan teknologi maju, terutamanya dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), akan digalakkan dalam penjanaan ekonomi. Tenaga kerja dan kemahiran yang diperlukan untuk memacu ekonomi digital dan IR 4.0 akan dipertingkat, manakala penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi akan terus diperkukuh.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyampaikan titah ucapan.

Demikian titah ucapan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian majlis penutup program Innovate Tech Show dan Global Drone Conference & Exhibition 2022 yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur pada petang semalam. Program tersebut dianjurkan oleh Best Events Productions.

Melihat peri pentingnya teknologi dalam memacu ekonomi negara, titah baginda:

Malaysia seharusnya menguasai pendigitalan yang akan membawa bersama kepada peningkatan taraf hidup dan kemakmuran rakyat. Di bawah IR 4.0, teknologi digital memangkin ekonomi digital serta bidang ekonomi lain termasuk ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.

 

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berangkat melihat hasil teknologi yang dipamerkan di reruai pameran.

Tambah Tuanku Raja Muda, “Bagi menjadi sebuah ‘negara yang diimpikan’, Malaysia perlu memanfaatkan segala peluang dan kekuatan untuk mengharungi cabaran revolusi digital. Kita perlu bijak menyesuaikan diri, sentiasa bersemangat untuk terus belajar, dan menyumbang ke arah masa hadapan yang mencerminkan objektif dan nilai yang kita kongsi secara bersama.”

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama tetamu kehormat dan tetamu yang hadir semasa majlis penutup program Innovate Tech Show dan Global Drone Conference & Exhibition 2022.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.