19 Oktober 2022, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil percaya bahawa masyarakat tempatan mampu terus memainkan peranan yang amat signifikan dalam membantu memastikan kestabilan sosioekonomi negara menerusi spektrum industri francais.

Baginda bertitah selepas berkenan menandatangani sijil-sijil ucapan penghargaan kepada panelis serta urusetia yang terlibat dalam Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ‘Women In Search of Excellence (WISE)’ Siri Ke-13 bertajuk “Pendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais” anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Baginda bertitah bahawa ekosistem francais  amat dinamik, malah sering terdedah kepada perubahan lanskap ekonomi dan sosial global seperti perubahan mata wang asing, persaingan harga, perundangan dan lain-lain. Baginda juga bertitah negara kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik bidang francais tempatan bagi menjamin kelangsungan dan kestabilan perniagaan terutamanya pada waktu pandemik COVID-19. Usaha ini juga melibatkan sokongan oleh semua pihak termasuklah sektor awam dan swasta, serta mereka yang berkepentingan melalui strategI yang telah ditetapkan.

Sesuai dengan slogan “Perniagaan Francais Menjana Ekonomi”, “Memartabatkan Pembangunan Negara”, baginda menitahkan panel undangan program berkenaan yang terdiri daripada pemain industri telah berkongsi ilmu dan pandangan mengupas tentang isu terkini berkaitan perniagaan francais negara dan membicarakan usaha yang diambil dalam mendepani cabaran semasa. Mereka juga turut berkongsikan pengalaman dan peluang yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat tempatan yang juga merupakan manifestasi yang realistik bahawa golongan masyarakat umum juga mampu untuk berjaya dalam sektor ini.

Perkembangan industri francais tempatan juga diselaraskan dengan pengukuhan pendaftaran serta peningkatan pematuhan terhadap industri ini di bawah Akta Francais 1998. Keadaan itu membolehkan sistem pendaftaran lebih sistematik dan memastikan industri francais beroperasi dalam persekitaran yang kondusif, cekap dan berkesan.

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda selaku Pengerusi YTF dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Penasihat DiRaja amat bersukacita atas kerjasama serta komitmen yang tidak terhingga oleh semua yang terlibat khususnya kepada Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof atas penglibatan dan komitmen dalam menjayakan penganjuran program webinar dengan kerjasama YTF tersebut.

Seminar Yayasan Tuanku Fauziah yang akan datang bertajuk: “Wanita Dalam Pembangunan Negara” bakal dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari khamis yang akan datang ini iaitu 20 Oktober 2022 di Sanggar Tun Sri Lanang, Tingkat 31, Menara DBP Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.