18 Oktober 2022, 08:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Inkubator Campus Brew melatih pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menjalankan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) berasaskan kopi sekali gus melahirkan usahawan kopi yang berilmu dan kompetitif. Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyatakan bahawa projek inkubator anjuran bersama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), dan Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) ini memberi peluang kepada mahasiswa merasai dunia sebenar perniagaan dengan menjual kopi.

Tambah beliau, inkubator ini mendapat bimbingan dari CEDI dan syarikat kopi He & She selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan penglibatan pelajar dalam aktiviti perniagaan semasa dalam pengajian sebanyak 19% dan 6% graduan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan pada tahun 2022.  “Masa depan anak-anak bergantung dengan apa yang kita corakkan jadi usahawan kopi bukan sekadar jual kopi malah dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran dan mengasah kebolehan dalam membentuk minda bercirikan keusahawanan dalam kalangan pelajar. “Beribu jenama kopi yang ada di pasaran tetapi kita mahu jadi jenama yang disebut-sebut orang, akan jadi jenama besar untuk menghasilkan usahawan kopi yang berjaya dalam kalangan pelajar justeru berilah perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan, layanan sepenuh hati dan berkualiti supaya dapat menarik pelanggan.”

Beliau turut menyatakan bahawa Anjung Tamu telah dipilih untuk dijadikan pusat keusahawanan Inkubator Campus Brew sebagai usaha membangunkan pelajar menjadi usahawan kopi demi memartabatkan agenda pembangunan keusahawanan. Malah, beliau turut  berharap perjuangan jihad ekonomi mesti diteruskan dan peranan ini haruslah dipikul oleh graduan bagi memastikan ekonomi masyarakat kukuh dan berdaya saing. Dalam masa yang sama mahasiswa sebagai generasi berani, dinamik dan kalis cabaran perlu berani bangkit dan berdiri sendiri serta membantu membangunkan ekonomi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin menyatakan pengangguran dalam kalangan graduan meningkat berikutan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan terutamanya ketika pandemik COVID-19. Pengangguran mencecah 768 700 orang atau 4.8% berdasarkan laporan perangkaan terkini tahun 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, dan lebih 4000 syarikat gulung tikar di Malaysia. “Keadaan ini amat meresahkan kerana dunia hari ini menghadapi krisis ekonomi kritikal. Menyedari hakikat ini, CEDI merancakkan aktiviti keusahawanan sebagai solusi agar graduan dapat mencipta kerjaya setelah menamatkan pengajian kelak.”

Jelasnya, inkubator perniagaan merupakan organisasi yang menyediakan persekitaran positif untuk menyokong pembangunan usahaniaga dan syarikat baharu. Untuk tujuan ini, inkubator perniagaan menyediakan ruang untuk operasi pejabat, khidmat nasihat perniagaan dan hubungan rangkaian antara firma penyewa, pembekal dan pelanggan yang berpotensi. “Dengan adanya Program Inkubator ‘Campus Brew’ ini yang  berkonsepkan inkubator perniagaan kopi di UUM menyediakan prasarana inkubator bagi pelajar UUM sepenuh masa sebagai inkubatee dalam menguruskan perniagaan dan mendapat bimbingan daripada syarikat pemain kopi industri yang bertindak sebagai mentor industri dalam membimbing perniagaan pelajar.”

Ong Soon Lee, Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan menyatakan bahawa inkubator ini menyediakan ilmu dan pengalaman berharga kerana 20 peserta akan menjalani latihan daripada krew bertauliah, He & She selama dua bulan. “Penglibatan peserta dalam program ini adalah secara sukarela dan saya sangat teruja dapat menyertainya dan berjanji akan memberikan komitmen tinggi pada masa sama tidak mengabaikan pelajaran.”

Setiap peserta akan menerima sijil akreditasi selepas menamatkan tempoh inkubator selama setahun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.