28 September 2022, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan penangguhan bayaran cukai pegangan bernilai kecil bagi pendapatan royalti, faedah dan pendapatan kelas khas bermula 1 Ogos 2022. Pembayar perlu meremitkan cukai pegangan yang telah dipotong bagi setiap transaksi kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Negeri (KPHDN) dalam tempoh satu bulan dari tarikh bayaran dibuat berdasarkan kepada seksyen 109 dan 109B Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP). Amaun potongan perlu diremit bersama-sama borang bayaran CP37 atau CP37D yang telah disediakan.

Bagi memudahkan pembayar membuat bayaran cukai pegangan beramaun kecil yang berulang-ulang, HASiL telah membenarkan penangguhan bayaran bagi kategori pendapatan yang berikut:

A. Pendapatan faedah atau royalti yang dibayar kepada penerima tidak bermastautin di bawah Seksyen 109, ACP 1967.
B. Pendapatan tertentu kelas khas yang dibayar kepada penerima tidak bermastautin di bawah Seksyen 109B, ACP 1967.

Situasi-situasi yang layak dibenarkan penangguhan bayaran cukai pegangan dilakukan sekali dalam setiap tempoh enam bulan adalah seperti berikut:

A. Amaun bayaran cukai pegangan adalah bernilai kecil, iaitu tidak melebihi RM500 00 bagi sesuatu transaksi bayaran.
B. Pembayar mengetahui bahawa bayaran cukai pegangan berkenaan akan dilakukan sebanyak lebih daripada sekali dalam tempoh lanjutan yang dibenarkan, iaitu dalam tempoh enam bulan berkenaan.

Bayaran cukai pegangan dan pengemukaan borang bayaran boleh dilakukan dalam satu borang mengikut tempoh berikut:

A. Pada atau sebelum 30 Jun bagi transaksi bayaran yang dilakukan kepada penerima tidak bermastautin antara 1 Disember tahun sebelum hingga 31 Mei tahun semasa.
B. Pada atau sebelum 31 Disember bagi transaksi bayaran yang dilakukan kepada penerima tidak bermastautin antara 1 Jun hingga 30 November tahun semasa.

Ruangan tarikh bayaran dikreditkan dalam Borang Bayaran CP37 atau CP37D perlu diisi dengan tarikh 30 Jun atau 31 Disember mengikut tempoh transaksi yang terlibat. Pihak pembayar dinasihatkan untuk menyimpan senarai penerima bayaran cukai pegangan amaun kecil yang berkaitan untuk disemak oleh HASiL sekiranya perlu.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui:
(a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
(b) HASiL Live Chat; atau
(c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.