27 September 2022, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya melahirkan dua pengilang yang memperoleh pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP) bertaraf antarabangsa untuk mencapai taraf operasi pengilangan yang berdaya saing padaperingkat tertinggi.

Pengilang tersebut ialah Madina Food Industries dan Sabr Ad Dhuha Enterprise yang beroperasi di Perlis. Ketua Perunding Projek Pensijilan GMP dari UUM, Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail berkata, “Pengilang industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan tulang belakang ekonomi yang penting untuk negara, terutamanya selepas negara dilanda pandemik COVID-19.”

Jelas beliau lagi, “Kemampuan IKS berdaya saing sehingga ke peringkat global akan memastikan kesinambungan bekalan produk berkualiti tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.”

“Sejajar dengan itu, pihak IKS sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan operasi pengilangan bagi memastikan mereka bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa yang menjanjikan pulangan lumayan kepada para pengilang yang terlibat,” uhar beliau.

Beliau menambah, “Kolaborasi strategik antara UUM dengan IKS tempatan ini diberi pelbagai latihan praktikal serta bimbingan pada peringkat proses pensijilan. Kita bukan sahaja membantu dari segi pengetahuan tentang GMP dan keselamatan makanan, tetapi juga memberikan khidmat secara hand-holding bagi memastikan pengilang IKS mempunyai keupayaan untuk mengekalkan operasi mereka.”

“Usaha ini merupakan keperluan untuk memastikan pengilang IKS mampu mengekalkan status pengilang GMP secara konsisten dan berterusan,” ujarnya yang berpengalaman lebih daripada 15 tahun dalam bidang pengilangan, terutamanya pengilangan makanan.

Dengan adanya pensijilan ini katanya, pengilang IKS mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan lebih meluas dan mereka juga perlu dilengkapkan dengan pengetahuan berkenaan operasi pengilangan bertaraf tinggi bagi menghasilkan produk yang selamat, dan berdaya saing melangkah lebih jauh.

Beliau yang juga pakar teknikal menegaskan tentang peri pentingnya para pengilang tempatan berusaha untuk memastikan aras keselamatan makanan tinggi sentiasa dipenuhi dan dicapai bagi meyakinkan pelanggan tentang kualiti produk mereka.

“Pengilang IKS sering menghadapi kekangan kewangan apabila cuba menaiktaraf fasiliti dan operasi kilang, mujurlah mereka mendapat bantuan kewangan daripada pihak MARA Negeri Perlis bagi mencapai pensijilan GMP,” tambah beliau.

Beliau turut berharap agar pengilang IKS lain akan mencuba untuk menjadi pengilang bertaraf GMP pada masa hadapan.

GMP merupakan sebuah skim pensijilan pengilang yang mendokong amalan pengilang baik yang menekankan faktor jaminan keselamatan makanan sebagai teras utama dalam pengoperasian sesebuah kilang makanan di Malaysia. Skim pensijilan GMP di Malaysia dipantau di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diiktiraf oleh pelbagai negara luar sebagai jaminan makanan selamat ke atas produk yang dihasilkan oleh kilang yang bertaraf GMP.

Sijil GMP  mendoronh kemudahpasaran produk dan kebaikan bersaing yang kuat untuk pengilang IKS terutamanya, dalam memasarkan produk.

Sabr Ad Dhuha Enterprise merupakan pengilang jus minuman Al Khamsah dengan status perniagaan tunggal yang diasaskan oleh anak kelahiran Perlis, Mahadzir Zakaria (gambar).

Mahadzir  berkata, “Hanya bermodalkan RM200.00, saya mula membuat ramuan jus minuman daripada lima jenis bahan herba yang dihasilkan untuk pengkomersilan pada bulan Julai 2015.”

“Bermula dengan menghasilkan produk dari rumah, syarikat ini terus melangkah jauh menghasilkan lebih banyak produk dan beroperasi di premis yang lebih sesuai dan berjaya mendapatkan sijil Halal dan MeSTI,” katanya.

“Pada tahun 2016, syarikat ini mengorak langkah lebih jauh dan meluaskan pasaran ke luar Perlis hingga berjaya memiliki premis pengilangan yang lebih lengkap dan  bersedia untuk mendapatkan sijil GMP untuk meluaskan kebolehpasaran produk.”

Manakala, Madina Food Industries diterajui oleh suami isteri, Muhammad Rizal Osman dan Norafdzaniza Othman,yang merupakan mantan jurutera dan pensyarah yang memulakan perniagaan pembuatan serbuk minuman di Beseri, Perlis sejak tahun 2012.

Muhammad Rizal berkata, “Hasil  dedikasi, ketekunan dan azam yang kuat, berjaya mendirikan dua buah kilang pembuatan serbuk minuman.”

“Alhamdulillah, produk ini mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan. Dan, produk terus berkembang luas hingga menyedarkan kami tentang kepentingan GMP bagi meluaskan pasaran sedia ada dan bersaing pada tahap antarabangsa,” katanya.

Hasil kesedaran tersebut, syarikat ini mendapatkan bimbingan daripada perunding UUM bagi membantu menaiktaraf operasi pengilangan mereka dan memperoleh sijil GMP. Setakat ini,Madina  menghasilkan lebih daripada 25 jenis produk minuman di fasiliti bertaraf GMP mereka dan  berjaya menembusi pasaran luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.