25 September 2022, 08:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kerajaan dengan sukacitanya mengumumkan tempoh matang dua tahun Sukuk Prihatin telah ditebus sepenuhnya pada 22 Sept 2022. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz memaklumkan bahawa terbitan Sukuk Prihatin yang dilancarkan pada 22 Sept 2020 telah ditambah sebanyak RM166.42 juta ekoran sambutan yang amat menggalakkan.
Beliau menyatakan bahawa sukuk itu telah dilanggan oleh 2436 pembeli individu dan korporat dengan jumlah keseluruhan terbitan sebanyak RM666.42 juta. “Hasil daripada terbitan itu telah disalurkan bagi membiayai sebahagian perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 termasuk pinjaman mikro kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional, bantuan khas untuk pelajar institusi pendidikan tinggi, kempen e-Dagang bagi PKS dan perusahaan mikro serta pelbagai perbelanjaan berkaitan kesihatan awam dalam usaha membendung pandemik COVID-19.”
Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang telah melanggan sukuk tersebut, khususnya kepada 95 pemegang Sukuk Prihatin yang memilih untuk menyumbangkan amaun prinsipal kepada kerajaan. Sukuk Prihatin ditubuhkan selepas menerima permintaan daripada pelbagai pihak untuk turut bersama-sama membantu dalam usaha pemulihan negara ketika Malaysia dilanda pandemik COVID-19.

Sukuk itu telah diiktiraf kerana ciri-ciri inovatifnya yang menggabungkan unsur-unsur digital, pelaburan runcit dan tujuan amal. Sukuk itu juga telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Urus Niaga Terbaik Keseluruhan Tahun 2020, Urus Niaga Paling Inovatif Tahun 2020 dan Urus Niaga Terbaik Malaysia Tahun 2020 oleh Islamic Finance News. Sukuk Prihatin juga turut diiktiraf sebagai Sukuk Digital Terbaik oleh Alpha Southeast Asia di Anugerah Tawaran Solusi Terbaik Tahunan 2020 ke-14.
Maybank merupakan bank pengedar utama Sukuk Prihatin yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia. Pelabur runcit telah melanggan dengan jumlah serendah RM500 untuk menyokong usaha pemulihan negara.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.