23 September 2022, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pengarah RISDA negeri Perlis, Nor Afzami Isa mempersembahkan makluman kepada Raja Muda Perlis,  Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena keberangkatan baginda ke Program Hari Terbuka Keluarga RISDA Negeri Perlis 2022.

Beliau menyatakan bahawa pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri Perlis berharap agar para pekebun kecil getah di negeri Perlis terus kekal dalam memastikan kebun getah tanam semula  mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan diurus dengan baik sehingga boleh mengeluarkan hasil menjelang tempoh empat tahun setengah ke lima tahun. Selain itu juga, pekebun harus memastikan kebun getah matang ditoreh bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara.

Inisiatif dan kaedah sistem penyampaian berkesan kepada masyarakat luar bandar khususnya pekebun kecil getah di negeri Perlis itu dianjurkan bertujuan untuk memastikan para pekebun kecil menerima maklumat yang cepat dan tepat berkaitan peranan dan fungsi RISDA dan Kumpulan RISDA Holdings (KRH). Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga telah turut berkenan untuk merasmikan “Hevea Lounge” jabatan berkenaan dalam majlis yang dihadiri seramai 300 orang pekebun kecil dan Usahawan Bimbingan RISDA negeri Perlis pada kali ini.

Nor Afzami Isa turut menyatakan bahawa objektif RISDA dalam Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) tahun 2021-2025 ialah memastikan para pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4500 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2025. Tambah beliau lagi, kini terdapat seramai 435 orang Usahawan Bimbingan RISDA negeri Perlis yang bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti perniagaan dalam bidang masing-masing iaitu dalam sektor makanan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.