22 September 2022, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Profesor Geoffrey Williams menyatakan bahawa Bajet 2023 diramal akan mencatatkan perbelanjaan keseluruhan yang lebih tinggi berbanding bajet yang dibentangkan sebelum ini. Selain itu, Bajet 2023 juga diramal menggariskan senarai projek yang lebih panjang bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca-COVID-19.

Beliau turut menjangkakan senarai geran latihan, projek teknologi dan program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) akan diumumkan. “Syarikat perunding yang berkaitan dengan kerajaan akan diberi peruntukan yang besar untuk melaksanakan skim, bagaimanapun kerajaan harus memantau sejauh mana syarikat itu mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kesan pengganda kepada ekonomi dan komuniti perniagaan serta faedah kepada masyarakat.” 

Bertentangan dengan ramalan itu, beliau turut menambah kerajaan seharusnya menyusun bajet yang lebih kecil dan penjimatan itu harus diserahkan semula kepada rakyat untuk membolehkan mereka membelanjakan lebih banyak bagi merancakkan ekonomi. Beliau menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pembaharuan sistem cukai dan duti, menamatkan perbahasan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan meliputi cukai pendapatan ke atas isi rumah dan syarikat untuk mengurangkan cukai secara keseluruhan.
Selain itu, beliau menegaskan kerajaan harus memberi tumpuan untuk memperkenalkan skim pemindahan tunai atau pendapatan asas sejagat melalui pembaharuan skim bantuan dan sistem cukai kepada bayaran bulanan tetap untuk golongan berpendapatan rendah sebagai bentuk bantuan kepada rakyat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.