16 September 2022, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pembekal penyelesaian tenaga bersih milik penuh Petronas, Gentari Sdn Bhd (GENTARI) terus komited dalam menawarkan dan memacu peralihan tenaga menerusi penyelesaian lebih bersih. Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa penubuhan GENTARI sejak Jun lalu merupakan langkah positif membangunkan sumber tenaga hijau di dalam dan luar negara pada masa depan.
Beliau turut menambah bahawa Gentari juga membantu Malaysia mencapai matlamat negara iaitu pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar pada tahun 2050 seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. “Sehubungan itu, pelancaran GENTARI pada malam ini seiring dengan usaha kerajaan ke arah merealisasikan sasaran Dasar Tenaga Negara (DTN) menerusi inisiatif mobiliti hijau, tenaga boleh baharu, serta hidrogen sebagai sumber tenaga utama. “Situasi ini juga meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang tenaga hijau ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.”
Pengerusi Gentari, Datuk Tengku Muhammad Taufik menyatakan bahawa syarikat akan memfokuskan usahanya dalam tiga sektor utama, iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen bersih dan mobiliti hijau. “Penyelesaian dalam ketiga-tiga sektor ini juga akan ditawarkan secara bersepadu untuk membolehkan Gentari memudahkan peralihan kepada tenaga bersih bagi pelanggan dan rakan niaga secara holistik. “Pada peringkat permulaan, menjelang tahun 2030, Gentari bercita-cita untuk membina kapasiti tenaga boleh diperbaharui di antara 30-40 GW terutamanya menerusi solar, membekalkan hidrogen sehingga 1.2 juta tan setahun dan menjadi pembekal penyelesaian mobiliti hijau pilihan dan menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan menguasai 10 peratus jumlah pasaran melalui pemasangan 25 000 kemudahan pengecasan merentas pasaran utama di Asia Pasifik.”
Selain itu, Gentari juga akan menawarkan penyelesaian mobiliti hijau kepada penduduk di rantau Asia Pasifik yang boleh mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain, misalnya penumpang kenderaan
e-hailing yang boleh memilih EV bagi perjalanan mereka. Pada masa sama, Gentari baru sahaja menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd untuk memperkenalkan barisan kenderaan pelepasan sifar yang disokong oleh kemudahan pengecasan EV.
Memorandum persefahaman (MoU) itu termasuk meneroka potensi kenderaan sel tenaga hidrogen di Kompleks Bersepadu Pengerang, salah satu fasiliti petrokimia bersepadu terbesar di rantau ini. Setakat ini, pemasangan panel solar bumbung 4 MWp telah disempurnakan manakala kerja-kerja pemasangan panel solar atas tanah sebesar 40 MWp di Pengerang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!