Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGeorge Town, Pulau Pinang – Selepas bertahun-tahun dinantikan, Kongres Dunia mengenai Inovasi dan Teknologi atau World Congress on Innovation and Technology (WCIT) 2022, akhirnya dilancarkan.
Majlis Perasmian hari ini dimulakan dengan sidang kemuncak inovasi dan teknologi yang terbesar dan paling berprestij di dunia. Kongres tiga hari ini dimulakan dengan program yang akan dihadiri oleh lebih daripada 4000 orang peserta berdaftar, lebih daripada 200 orang penceramah, pemikir industri, pegawai kerajaan, ketua industri, pelabur, usahawan, ahli akademik, dan media dari lebih daripada 60 buah negara.
Kongres ini menampilkan lebih daripada 500 jenama teknologi, menduduki ruang pameran melebihi 6500 meter persegi. Selalunya dirujuk sebagai “Olimpik Industri Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Global”, WCIT Edisi ke-26 WITSA dihoskan di Pulau Pinang.
Kongres ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Gabenor Pulau Pinang; Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia; dan Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang.
Pada Majlis Perasmian, Dr. Sean Seah, Pengerusi PIKOM dan Pengerusi Penganjur WCIT 2022, dengan bangganya berkata, “Kongres yang sangat kompleks ini berfungsi sebagai bukti sifat dinamik WCIT, dengan pelbagai pihak berkepentingan global berkumpul untuk menjadikan edisi ini sebagai kejayaan yang memberangsangkan. Malaysia menganjurkan WCIT 2022 adalah tepat pada masanya dan tepat ketika kita menjalani pemulihan ekonomi, mendorong sempadan ke arah pendigitalan yang agresif. Kami berbangga mengalu-alukan dunia untuk merasai dan menikmati layanan Malaysia melalui teknologi, inovasi dan budaya indah kami.”
Ketua Menteri Pulau Pinang Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow berkata, “Acara global ini akan memacu pembangunan dinamik Pulau Pinang. Pulau Silikon, rumah kepada 39 buah syarikat Fortune 1000, 300 Syarikat Multinasional (MNC) dan lebih daripada 1000 buah syarikat pemula teknologi yang berkembang maju.
“Tahun 2022 merupakan tahun perayaan bagi Pulau Pinang apabila kita memasuki ulang tahun ke-50 perindustrian. Dengan slogan ’50 Tahun Kecemerlangan dan Seterusnya’, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berusaha meningkatkan ekosistemnya yang berdaya tahan yang mampu merangsang kemajuan industri strategik untuk 50 tahun akan datang, memastikan sumbangan berterusan Pulau Pinang dalam peta teknologi global,” tegas Chow.
WCIT 2022 ialah platform untuk merangsangkan perbualan esok; memacu kerjasama dengan ekonomi peserta lain, menerajui lonjakan kuantum transformasi melalui penggunaan teknologi, inovasi digital, dan pelaburan asing.