Oleh Ritah Yahaya
12 September 2022, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Satu platform pembelajaran secara maya iaitu MATRADE Digital Learning (MDL) telah dilancarkan pada 8 September 2022 oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob bersempena dengan perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) di MITEC, Kuala Lumpur.

Platform MDL merupakan usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengeksport secara holistik dan pantas kepada syarikat Malaysia, termasuklah Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam industri halal.

Terdapat 13 modul praktikal yang ditawarkan bermula daripada panduan asas mengeksport, cara untuk memenuhi kehendak pasaran dan seterusnya berjaya menerokai pasaran luar negara yang disasarkan. Sebuah anak syarikat milik Universiti Utara Malaysia dilantik untuk membangunkan modul MDL dan MATRADE juga berkolaborasi dengan Google dalam salah satu modulnya yang mengandungi panduan penggunaan produk Google.

Modul bersama-sama Google ini bertujuan  membantu syarikat dalam perniagaan dan mengenalpasti peluang perniagaan dalam pasaran eksport serta petua untuk menarik pelanggan dalam talian. Selain itu, terdapat juga modul kesedaran berkenaan kaedah Behavioral Insights (BI) yang diterapkan dalam polisi kerajaan bagi proses merangka program berkaitan syarikat Malaysia.

Peserta platform MDL juga berpeluang untuk menonton video perkongsian pengalaman syarikat dalam menerokai pasaran global.  Platform MDL boleh diakses melalui https://mdl.matrade.gov.my.

“Pendigitalan merupakan agenda utama MATRADE dalam memastikan kesinambungan perniagaan eksport oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan meminimakan impak gangguan rantaian bekalan global. MATRADE Digital Learning dibangunkan atas dasar mempersiapkan PMKS ke pasaran antarabangsa dan seterusnya memperkukuhkan tahap daya saing pada peringkat global”, dalam satu kenyataan oleh YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE.

“Di Google, kami komited untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dan PKS selari dengan usaha kami untuk menuju ke arah ekonomi digital yang inklusif. Melalui perkongsian dengan MATRADE ini, adalah menjadi harapan kami bersama bahawa platform latihan ini akan melengkapkan PKS di Malaysia dengan kemahiran untuk menjadi perniagaan sedia-eksport dan meraih peluang perdagangan digital yang semakin meningkat”, kata Marc Woo, Pengarah Urusan Google Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.