Oleh Ritah Yahaya
16 Ogos 2022, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pada tahun 2021, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah perdagangan bernilai RM24 bilion. Jumlah keseluruhan eksport adalah sebanyak RM11.447 bilion dan jumlah keseluruhan import pula adalah sebanyak RM12.673 bilion. Jumlah dagangan keseluruhan meningkat sebanyak 9.1% berbanding pada tahun 2020. UAE juga adalah rakan dagang ke 16 di dunia.

Lima eksport utama Malaysia ke UAE pada tahun 2021 ialah barangan elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM2.785 bilion, barangan kemas berjumlah RM1.734 bilion, minyak mentah kelapa sawit, dan produk pertanian berasakan minyak sawit berjumlah RM813.57 juta, produk petroleum berjumlah RM694.85 juta dan makanan yang diproses berjumlah RM558.21 juta. Manakala, lima import utama Malaysia dari UAE ialah produk petroleum berjumlah RM4.565 bilion, minyak mentah berjumlah RM1.616 bilion, petrokimia dan produk kimia berjumlah RM1.252.61 bilion, penghasilan besi berjumlah RM1.018 bilion, dan barang kemas berjumlah RM344.51 juta.

Dari segi pelaburan UAE ke Malaysia, sebanyak 28 buah projek perkilangan bernilai RM1.4 bilion dijalankan dan menghasilkan 1704 peluang pekerjaan. Antara projek tersebut, termasuklah penghasilan jentera berat, peralatan, farmaseutikal halal, penghasilan produk makanan, pengilangan produk kimia, getah, plastik, dan sebagainya. Di samping itu, sebanyak 36 buah pejabat dibuka di Malaysia, antaranya syarikat-syarikat di UAE juga telah membuka pejabat wilayah, pejabat perwakilan, ibu pejabat operasi dan hub utama.

Selain itu, dalam aspek Pendidikan tinggi, pejabat Education Malaysia Dubai (EM Dubai) memaklumkan pada masa ini terdapat sebanyak 21 orang pelajar Malaysia yang belajar di UAE. Manakala, sebanyak 843 orang pelajar UAE sedang menyambung pelajaran di Malaysia.

EM Dubai melihat peluang dan potensi yang luas bagi menarik minat para pelajar UAE. Selain pelajar tempatan UAE, potensi yang dimaksudkan juga ialah anak-anak ekspatriat yang bekerja di sini. Anak-anak mereka yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa menjadi satu peluang yang sedang diterokai oleh EM Dubai. Oleh hal yang demikian, aktiviti promosi dijalankan di sekolah-sekolah antarabangsa di UAE dan memperkenalkan pendidikan tinggi Malaysia.

Bagi aspek pelancongan, pejabat Tourism Malaysia Dubai (TM Dubai) memaklumkan sebanyak 11174 orang pelancong dari UAE yang melawat Malaysia pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, pada tahun 2020 dan 2021, jumlah pelawat dari UAE menurun secara mendadak berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan kebanyakan negara termasuk Malaysia menutup sempadan negara masing-masing bagi membendung dan membanteras penularan wabak COVID-19. Walau bagaimanapun, pihak TM Dubai meneruskan usaha dengan aktiviti promosi secara maya dan fizikal. Usaha secara berterusan ini diharapkan akan kembali meningkatkan jumlah pelawat asing dari UAE.

Demikian menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Kuasa Usaha Sementara, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khairul Nazri Mohamad Taib baru-baru ini. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan tambahan Tabung Ibnu Sabil MAIPs yang diterima oleh Konsul Muda, Mohd Adham Yahaya dan disaksikan oleh Pegawai Protokolnya, Mohamad Hassan bagi pihak Pejabat Konsulat.

 

(Foto : MAIPs)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.