16 Ogos 2022, 19:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Syarikat permulaan (start-up) UiTM Cawangan Perlis, Athanliz Innovations Sdn. Bhd. hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama ZEM Holdings Sdn. Bhd. dan Malthai Hub.

Kolaborasi antara Athanliz Innovations Sdn. Bhd. hari ini bersama-sama ZEM Holdings Sdn. Bhd. dan Malthai Hub ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan platform kepada syarikat permulaan UiTM Cawangan Perlis ini bagi membangunkan hasil inovasi produk kosmetik Lindifera seperti sabun muka, pelembab bibir selain yogurt yang berasaskan harumanis UiTM Cawangan Perlis di peringkat global.

Profesor Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (tengah) dan Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi (paling kanan), Rektor UiTM Cawangan Perlis bersama-sama Pengarah Urusan syarikat dalam majlis pemeteraian perjanjian persefahaman pada hari ini.

Menerusi pemeteraian memorandum tersebut, ZEM Holdings Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan menyediakan peluang untuk penyelidikan dan penghasilan produk serta memberikan panduan dan bantuan dari segi ilmu dan kemahiran dalam membantu pembangunan produk dan syarikat.

Selain itu, Athanliz Innovations Sdn. Bhd. turut diberikan bantuan dari segi pemasaran produk ke luar negara melalui kerjasamanya bersama-sama Malthai Hub.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Norazah Abd Rahman yang turut hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut melahirkan rasa gembira dan kagum akan pencapaian UiTM Cawangan Perlis atas kejayaan melahirkan syarikat permulaan dari kampus tersebut. Beliau berharap agar lebih banyak lagi produk inovasi dapat terus dikomersialkan dan seterusnya dapat melihat lebih banyak syarikat permulaan dari UiTM Cawangan Perlis dapat ditubuhkan. Hal ini sekali gus dapat membantu UiTM dalam menjana pendapatan melalui penjualan produk dari syarikat permulaan.

Profesor Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM semasa memberikan ucapan dalam majlis tersebut.

Pertukaran memorandum tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan, Athanliz Innovations Sdn. Bhd., Dr. Athifah Najwani Shahidan dan Pengarah Urusan ZEM Holdings Sdn. Bhd., iaitu Encik Mohamad Zulkurnain Ab. Rahman; dan Pengarah Urusan, Athanliz Innovations Sdn. Bhd., Dr. Athifah Najwani Shahidan dan Encik Paudzi Yahya, Pengarah Malthai Hub.

Majlis ini turut disaksikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Syed Shatir Asghrar Syed Hassan, Pengarah Bitcom serta beberapa delegasi dari UiTM Cawangan Perlis, Bitcom UiTM dan ketiga-tiga wakil syarikat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.