1 Ogos 2022, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Langkah agresif bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) dalam menaikkan kadar faedah akan memberi manfaat kepada dolar AS dan secara tidak langsung menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing.
Ketua Penyelidikan Kekayaan dan Penasihat UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menyatakan bahawa kenaikan kadar faedah AS sebanyak 75 mata asas (bps) pada Rabu lepas untuk mengurangkan inflasi berkemungkinan besar menyebabkan pasaran pendapatan tetap Malaysia mengalami aliran keluar asing kerana pelabur mencari pulangan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, langkah AS itu akan mendorong eksport Malaysia dilihat lebih berdaya saing. 
Beliau berpendapat pelabur akan memanfaatkan pengumuman terbaru Fed itu terutama memandangkan Malaysia mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan beransur-ansur terhadap dasar monetari. Kadar agresif Fed secara tidak langsung akan menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing, namun penyusutan nilai ringgit juga mengakibatkan import lebih mahal khususnya bahan mentah.
Beliau turut menyatakan bahawa inflasi yang diimport boleh memberi tekanan kepada paras harga domestik. Beliau memetik data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan import Malaysia mencapai nilai tertinggi sepanjang masa RM124.2 bilion pada Jun 2022 dengan RM64.4 bilion ialah barangan perantaraan. “Indeks Harga Pengguna terkini pada 3.4% tahun ke tahun menunjukkan inflasi didorong kos kekal menjadi kebimbangan yang besar, walaupun inflasi masih rendah jika dibandingkan dengan negara jiran. “Bank Negara Malaysia dijangka menaikkan lagi kadar faedah sebanyak 25 bps pada September jika angka inflasi terus mengecewakan dan ini akan menyebabkan ringgit terus menyusut.”
Pakar ekonomi itu menyatakan bahawa kadar pengetatan daripada paras semasa mungkin lebih diukur dan berfungsi sebagai pendorong positif dolar ketika mengulas mengenai kenaikan kadar faedah terbaru AS. Beliau yakin dolar AS boleh meningkat sehingga RM4.55 pada suku ketiga tahun ini sebelum ditutup pada RM4.50 menjelang akhir tahun 2022. Pada hari Jumaat, ringgit meningkat berbanding dengan dolar AS kepada 4.4495/4520 daripada 4.4515/4545 seminggu sebelumnya.
Beliau menyatakan bahawa Fed dijangkakan terus menaikkan kadar faedah tahun depan, walaupun secara kurang agresif dalam usaha mengawal inflasi dan mengelakkan kemelesetan ekonomi. Kadar inflasi juga mungkin susut kepada 2% menjelang akhir tahun 2023 dengan mengandaikan kos bahan api menurun secara beransur-ansur.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.