Oleh Ritah Yahaya
27 Julai 2022, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan misi mencari penyelesaian dan inisiatif berinovasi yang dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia menerusi pelancaran program MYHackathon 2022. MYHackathon 2022 adalah kesinambungan acara MYHackathon 2020 yang diperkenalkan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) iaitu agensi di bawah MOSTI dan merupakan satu inisiatif program MYStartup. Ia merupakan platform yang diwujudkan untuk para techpreneurs, inovator, jurutera perisian dan rakyat Malaysia bagi menghasilkan idea penyelesaian yang berinovasi serta berteknologi untuk membantu menambah baik perkhidmatan awam.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, MYHackathon Edisi 2022 akan memberi tumpuan kepada pencarian penyelesaian kepada proses pemulihan ekonomi negara. “MYHackathon 2022 adalah platform terbaik yang menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat start-up, perusahaan tempatan, mahupun individu untuk menawarkan penyelesaian berteknologi dalam menambah baik kualiti penyampaian Kerajaan, seterusnya mengetengahkan idea dan inovasi masing-masing untuk dikomersialkan,” kata beliau.

Tambah beliau, “Program MYHackathon 2022 ini juga secara tidak langsung berkait rapat dengan krisis sekuriti makanan yang mendapat perhatian khas Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar krisis ini ditangani segera. Usaha menangani isu krisis sekuriti makanan ini menjadi lebih bermakna jika rakyat turut berganding bahu dan sepakat untuk mengetengahkan penyelesaian berlandaskan teknologi.” Peranan yang dimainkan oleh teknologi dan inovasi serta barisan start-up yang kreatif dilihat mampu memberi penyelesaian yang bernas kepada isu sekuriti makanan tersebut. Dengan tema “Hackathon Nasional Untuk Malaysia yang Inklusif”, program yang bermula pada bulan Julai 2022 ini terdiri daripada dua kohort yang setiap fasa bakal mempunyai, secara minimum, lima pernyataan masalah.

Kohort pertama program MYHackathon 2022 telah berjaya menarik hampir 300 penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat dari seluruh negara termasuklah individu, inovator tempatan, graduan universiti dan syarikat start-up. Para peserta akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi terpilih bagi mengetengahkan penyelesaian atau solusi bagi pernyataan masalah merangkumi pelbagai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh pihak Kerajaan. Cradle mensasarkan sebanyak 600 penyertaan melalui dua kohort yang pemenang bakal menerima geran permulaan bernilai sehingga RM250 000.00 dan bimbingan secara one-to-one untuk melaksanakan pembangunan projek rintis bagi tempoh 12 bulan.

MOSTI turut memperkenalkan satu kategori khas, iaitu Anugerah Khas Menteri MOSTI. Pemenang akan dipilih oleh panel yang terdiri daripada pengurusan kanan Cradle dan pengurusan tertinggi MOSTI sebelum diangkat untuk penilaian akhir. Pihak Cradle mengundang Keluarga Malaysia secara amnya untuk turut serta dalam program MYHackathon 2022 ini. Untuk maklumat lanjut mengenai ekosistem start-up Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkaitan, boleh layari www.mystartup.gov.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.