Oleh Ritah Yahaya
26 Julai 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia atau Iskandar Regional Development Authority (IRDA) sejak penubuhannya, merekodkan sebanyak RM219 bilion yang sebanyak 60% (hampir RM221 bilion) daripadanya adalah pelaburan domestik dan selebihnya RM148 bilion daripada pelaburan asing.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa bagi tahun ini, hingga bulan Jun 2022, Iskandar Malaysia mencatatkan sebanyak RM13 bilion pelaburan komited, sebanyak RM6 bilion daripadanya direalisasikan. Jumlah yang dicatatkan ini membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia. Sebanyak lebih RM10 bilion bakal dijanakan oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data (data centre).

“Pelaburan asing akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Secara keseluruhannya, lebih 6000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang dijalankan,” kata beliau.

Menurut Dato’ Sri Ismail Sabri, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan. Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara. Hal ini sejajar dengan agenda kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai “Agrifood Hub” Malaysia.

“IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022–2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai satu tunjang utama menjanakan ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan. Pembangunan di wilayah ini amat penting bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh,” ujar beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.