Oleh Ritah Yahaya
25 Julai 2022, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah mempengerusikan Sesi Libat Urus Pertanian Pintar (Smart Farming) bersama-sama pemegang taruh yang terdiri daripada wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, jabatan, agensi, dan pihak industri.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenal pasti sebanyak 27 penyelesaian teknologi agropertanian yang tersedia untuk diperluaskan dan satu perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diadakan di MOSTI pada 28 Jun 2022. Antara kekangan yang dikenal pasti termasuklah kos penggunaan teknologi yang tinggi dan pengadaptasian serta kadar penggunaan teknologi yang rendah oleh petani dan peladang.

Sejak memulakan inisiatif Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi MOSTI pada 10 Jun 2022, sebanyak 12 siri pertemuan dan mesyuarat telah diadakan dalam tempoh satu bulan bersama pemegang taruh dan pemain industri pertanian di beberapa lokasi yang bertujuan memperoleh maklum balas berhubung dengan teknologi yang boleh membantu menangani isu sekuriti makanan negara.

Dato’ Sri Dr. Adham berkata, “Sesi libat urus yang diadakan pada hari ini bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh smart farming berhubung dengan beberapa penyelesaian teknologi yang boleh diguna pakai dan memperincikan lagi kaedah adaptasi bagi mengatasi masalah sekuriti makanan yang dihadapi oleh komuniti atau masyarakat umum. Penyelesaian ini juga menyasarkan skala kecil, kos penggunaan teknologi yang rendah dan sederhana serta pengaplikasiannya oleh penduduk bandar yang berhadapan dengan isu kekangan ruang dan tanah bagi tujuan pertanian.”

Tambah beliau lagi, “Dengan teknologi, kita mengubah keadaan dan menambah keupayaan. MOSTI sentiasa terbuka menerima pelbagai bentuk inovasi yang dapat membantu petani dan penternak kerana manfaatnya adalah untuk rakyat.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.