24 Julai 2022, 22:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis penganugerahan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021 berlangsung gilang-gemilang pada malam ini di Grand Ballroom, Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.

Majlis berprestij tersebut dirasmikan oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang). Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat; YBhg. Dato’ Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA; Dato’ Sri Syed Hussein Al Habshee, Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp); Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); dan YB Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi menerusi ucapan perasmiannya menyatakan bahawa LICTA ialah jambatan penghubung atau pintu rezeki kepada semua usahawan. Beliau turut menggalakkan lebih banyak usahawan bumiputera menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dan mengambil peluang dengan memanfaatkan penggunaan teknologi digital.

“Kerajaan akan memberikan sokongan yang kuat kepada semua usahawan memandangkan tahun 2021 merupakan tahun krtikal kerana pandemik COVID-19 yang menjejaskan pelbagai sektor di seluruh dunia yang turut menjejaskan golongan usahawan dan perniagaan mereka,”ujar beliau. Tambah beliau lagi:

Era globalisasi ini merupakan cabaran kepada semua usahawan. Oleh hal yang demikian, bagi melestarikan bidang keusahawanan, para usahawan perlu menyahut cabaran ini dengan melakukan reformasi terhadap model perniagaan masing-masing. Hal ini dapat dilakukan dengan memfokuskan persekitaran, sosial dan tadbir urus atau environmental, social, and governance (ESG).

Dalam ucapan alu-aluan pula, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran mengucapkan tahniah kepada tunjang utama LICTA, YBhg. Dato’ Lee Chee Weng atas usaha beliau menjayakan majlis berprestij, LICTA 2021. Beliau juga mengucapkan syabas kepada para pemenang dan peserta LICTA 2021.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Menurut Datuk Abang Sallehuddin yang juga merangkap Pengerusi Urus Setia LICTA 2021, DBP turut membantu mempromosikan usahawan yang berjaya. Hal ini demikian kerana DBP yakin akan peranan penting dan pengaruh ahli korporat dan usahawan dalam usaha menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di dalam negara dan di luar negara. Dengan jumlah penutur bahasa Melayu yang tidak kurang daripada 300 juta orang di seluruh dunia, secara tidak langsung berupaya mengangkat nilai ekonomi bahasa Melayu. Beliau turut berharap agar para usahawan menjadikan agenda dan matlamat untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara berbudaya di luar negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Haji Zazali Haron, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia; Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia;  Tan Sri Dato’ Chang Ko Youn Pengerusi Malaysia Hawker and Trader Foundation (YPPKM); Tuan Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.); Tuan Zaky Moh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., dan Tuan Yahaya Sani, Pengarah Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

RY

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!