22 Julai 2022, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memaklumkan bahawa jumlah trafik udara pada Mei 2022 yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat sebanyak 83.1% berbanding dengan tahun sebelumnya yang dipacu, terutamanya oleh pemulihan kukuh trafik antarabangsa.

Jumlah RPK pada Mei 2022 mencapai 68.7% daripada paras Mei 2019, sekali gus merupakan prestasi terbaik setakat ini pada tahun 2022 berbanding perjalanan sebelum pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh menyatakan bahawa “Pemulihan perjalanan terus meraih momentum berikutan orang ramai perlu melakukan perjalanan selepas kerajaan menamatkan sekatan COVID-19 kerana banyak kawasan laluan antarabangsa utama, termasuklah di Eropah dan laluan Timur Tengah-Amerika Utara dibuka selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan.

Beliau menambah bahawa keyakinan terhadap pemulihan perjalanan tidak membabitkan China yang menyaksikan penurunan mendadak bagi perjalanan domestik adalah sebanyak 73.2% berbanding dengan tahun sebelumnya.
“Dasar sifar COVID-19 yang berterusan tidak seiring dengan langkah yang dibuat di seluruh dunia dan telah menunjukkan pemulihan perjalanan yang lebih perlahan melibatkan China,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan perlu meningkatkan pemahaman mengenai kaedah sektor penerbangan beroperasi dan bekerjasama lebih rapat dengan lapangan terbang dan syarikat penerbangan bagi jangka panjang.
IATA menjelaskan bahawa kelonggaran sekatan berkaitan dengan Omicron  membantu meredakan kekangan dalam rantaian bekalan dan menyumbang kepada peningkatan prestasi pasaran kargo udara global pada bulan Mei. Permintaan global pada bulan Mei 2022 yang diukur dalam kargo tan kilometer (CTK) adalah sebanyak 8.3% rendah daripada paras bulan Mei 2021 (-8.1 peratus bagi operasi antarabangsa) merekodkan peningkatan dari segi penurunan tahun ke tahun sebanyak 9.1% pada bulan April.
IATA juga menyatakan bahawa kapasiti bagi bulan di bawah kajian itu adalah sebanyak  2.7% melebihi paras pada bulan Mei 2021 (+5.7% bagi operasi antarabangsa). Kapasiti meningkat di seluruh rantau dengan Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan terbesar.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.